Lebih 106,000 kongsi bahan lucah kanak-kanak – Rina

Lebih 106,000 kongsi bahan lucah kanak-kanak – Rina

Kongsikan Berita Ini

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius dapatan polis yang menerima 106,764 alamat protokol internet (IP) berdaftar di negara ini, yang disyaki berkongsi kandungan lucah golongan kanak-kanak di internet, kata menterinya, Rina Harun.

Rina berkata, jumlah tersebut direkodkan sejak 2017 hingga Ogos lalu.

“Angka amat membimbangkan dan kempen ini kami jalankan untuk beri kefahaman juga kepada kanak-kanak.

“KPWKM melihat trend ini sebagai perkembangan tidak sihat terutamanya melibatkan golongan vulnerable memandangkan pendedahan kepada bahan pornografi kanak-kanak mendorong kepada ketagihan seks yang akhirnya boleh membawa kepada perlakuan seksual yang lain,” katanya.

Rina berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak.

Bagi mengekang perkara itu, beliau berkata KPWKM melaksanakan kempen itu sebagai satu daripada inisiatif dalam membantu dan membimbing kanak-kanak, ibu bapa serta komuniti untuk berhadapan dengan cabaran jenayah siber pada masa kini.

Katanya, terdapat lima objektif utama pelaksanaan kempen itu antaranya meningkatkan kefahaman kanak-kanak terhadap penggunaan media sosial secara bijak dan selamat, memberi pendedahan tentang bahaya media sosial yang tidak dikawal serta memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Berkongsi statistik kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak, Rina berkata, sejak Januari hingga Jun lalu, polis menerima 47 kes rogol berkumpulan, 95 kes (seks luar tabii), 127 kes (sumbang mahram), 438 kes (cabul) dan 641 kes melibatkan jenayah rogol.

Beliau berkata, KPWKM melaksanakan pelbagai usaha antaranya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Bersepadu Pengurusan Isu-isu Sosial Kanak-Kanak di media sosial, pada 15 Jun 2021, memperkasakan perkhidmatan kaunseling di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah serta memperkasakan peranan komuniti dengan melantik 299 pembantu pelindung di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya, KPWKM juga akan menganjurkan Persidangan Kanak-Kanak kali pertama selama dua hari mulai esok, yang akan dihadiri Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) dari seluruh negara bagi mewakili suara kanak-kanak di negara ini.