Seorang Lelaki Cuba Curi Anak Singa Dalam Zoo Maut Dibaham Singa

Seorang Lelaki Cuba Curi Anak Singa Dalam Zoo Maut Dibaham Singa

Kongsikan Berita Ini

GHANA – Seorang lelaki dilapor maut akibat dibaham singa selepas memanjat ke dalam kandang singa di Zoo Accra, Ghana dalam cubaan untuk mencuri anak singa pada hari Ahad lalu, lapor NDTV.

Menurut laporan, mangsa meninggal dunia di dalam pagar bahagian dalam kandang akibat kecederaannya.

Pihak berkuasa zoo percaya bahawa suspek mungkin merancang untuk mencuri dua anak singa putih yang jarang ditemui.

Dua anak singa putih tersebut telah menjadi tarikan utama sejak kelahiran mereka pada November 2021, menurut BBC.

Pegawai berkata bahawa penceroboh itu mula-mula dikesan melompat pagar keselamatan di zoo dan masuk ke dalam kandang singa.

Ketika mangsa memasuki kandang itu, terdapat seekor singa, singa betina dan dua anak putih berada di dalam kandang tersebut.

Sebaik sahaja singa dewasa mengesan keberadaan penceroboh, haiwan pemangsa itu bertindak menerkam sehingga menyebabkan dia maut.

“Singa-singa itu mempunyai anak jadi jika anda terlalu dekat, mereka mungkin merasakan anda cuba mengambil bayi mereka,” kata Benito Owusu Bio, Timbalan Menteri Tanah dan Sumber Asli di Ghana, menurut Newsweek.

Gambar: BBC

“Kami meminta orang ramai berhenti daripada melakukan perkara seperti ini,” tambahnya.

Susulan serangan itu, mayat lelaki tersebut dikeluarkan dari zoo dan kemudian dibawa ke bilik mayat tempatan.

Difahamkan Zoo Accra telah ditutup buat sementara waktu kepada orang ramai dan polis membuka kertas siasatan untuk mengenal pasti motif lelaki itu dan keadaan sekitar serangan itu.

BBC melaporkan bahawa penceroboh memanjat pagar 10 kaki sebelum memanjat satu lagi 20 kaki untuk memasuki kandang.

Singa putih dianggap suci dalam beberapa budaya Afrika. Spesis itu disasarkan oleh pemburu haram kerana nilai yang tinggi di pasaran haram.

Menurut Global White Lion Protection Trust, hanya kira-kira sedozen singa putih wujud di alam liar.

Anak-anak singa di Zoo Accra dilahirkan dengan membiak singa jantan dan singa betina dengan sifat resesif (leucism) untuk memastikan keberkesanan.

Sumber : NDTV