Mohamaddin Ketapi Sah ‘Lompat’ Parti Ke PBM

Mohamaddin Ketapi Sah ‘Lompat’ Parti Ke PBM

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi secara rasmi mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini.

Pengumuman itu dibuat pada satu sidang media khas bersama Presiden PBM Larry Sng di sini sebentar tadi.

Bekas menteri pelancongan, seni dan budaya itu berkata, beliau membuat keputusan menyertai PBM kerana perjuangan parti itu berkaitan hak dan autonomi Borneo seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dalam situasi politik tanah air yang tidak pernah berlaku sebelumnya, saya berpendapat bahawa penyatuan kuasa-kuasa rakyat dari kedua wilayah Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak, adalah penyelesaian untuk masalah kestabilan politik dan pastinya dapat menjamin kesejahteraan rakyat, terutamanya di Sabah.

“PBM ialah parti yang lahir di Borneo tetapi berjaya meluaskan pengaruhnya di wilayah Semenanjung dan ini dapat dilihat melalui penyertaan Ahli Parlimen dan ADUN di sana (Semenanjung),” katanya.

Sementara itu, Mohamaddin berkata, beliau masih belum memutuskan sama ada akan mempertahankan kerusi parlimen Lahad Datu yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) atau tidak.

“Kalau saya bertanding, sudah pasti atas tiket PBM, tetapi sama ada bertanding atau tidak, itu akan ditentukan kepimpinan parti.

“Kita tunggu masanya nanti, kalau saya kurang sihat, mungkin tidak bertanding,” katanya.

Terdahulu, Sng turut mengumumkan Mohamaddin akan dilantik sebagai ketua penaja PBM bagi Sabah.

Atas tiket Warisan sebelum ini, Mohamaddin memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu pada PRU14 dan kerusi DUN Segama pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.

Bagaimanapun pada 26 Nov tahun lepas, beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Warisan dan menyertai Bersatu.

Kira-kira tujuh bulan selepas menyertai Bersatu, Mohamaddin sekali lagi menukar haluan politiknya apabila keluar daripada parti itu dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan. – FMT