Negeri Sabah Perlu 35% Hasil Sektor Pembuatan Untuk Ekonomi Lebih Maju

Negeri Sabah Perlu 35% Hasil Sektor Pembuatan Untuk Ekonomi Lebih Maju

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, 15 Ogos : Sabah memerlukan kira-kira 35 peratus hasil yang disumbangkan oleh sektor pembuatan bagi membolehkannya muncul sebagai sebuah negeri bercirikan ekonomi lebih maju, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata, setakat ini sumbangan sektor pembuatan terhadap keluaran dalam negeri kasar (KDNK) di Sabah hanyalah 7.5 peratus daripada sejumlah RM80 bilion.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pelbagai pihak terbabit seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk turut sama dalam usaha kemajuan negeri tersebut.

“Saya menaruh harapan tinggi kepada SIRIM untuk turut sama menyumbang ke arah pembangunan ekonomi di Sabah dan bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan pertumbuhan industri khususnya sektor pembuatan.

“Malah, menerusi kepakaran teknikal dan pengalaman, SIRIM dapat membimbing pengusaha kecil dan sederhana (PKS) Sabah untuk berubah menjadi dinamik, inovatif dan berteknologi,” kata beliau ketika berucap merasmikan Hari Keterlibatan SIRIM Bersama Industri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi SIRIM Berhad Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Presiden serta Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Indera Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Sementara itu Ahmad Tajuddin berkata SIRIM sedia membantu berdasarkan kepakaran sedia ada, namun pada masa sama usahawan terbabit perlu mengenalpasti keperluan serta masalah dalam menambah baik produk.

SIRIM juga menerusi anak syarikatnya, SIRIM Standards Technology Sdn Bhd, telah membuka hab baharu di pejabatnya di Sabah yang merangkumi bidang tentukuran dengan perkhidmatan penentukuran elektrikal, suhu, tekanan, jisim dan dimensi.

Ini selaras dengan komitmen kumpulan SIRIM untuk terus meningkatkan perkhidmatan serta mudah diakses oleh pelanggan, khususnya di negeri itu, kata beliau.

Dalam pada itu, program bertemakan ‘Merapatkan SIRIM Dengan Komuniti Dan Industri’ itu dihadiri kira-kira 300 wakil pelbagai agensi kerajaan, industri, persatuan, institusi pengajian tinggi dan usahawan tempatan daripada segmen makanan dan minuman, pertanian, perikanan, penternakan serta pembinaan.

Pada majlis sama, Joachim bersama Ahmad Tajuddin menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SIRIM yang diwakili oleh Ketua Pegawai Informasi Digital SIRIM Berhad Tengku Intan Narqiah Tengku Othman dan Ahmad Sabirin dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKNS) diwakili oleh Pengurus Besar Shaheddrul R Joddari dan Ketua Pengawal Perniagaan Tani dan Kelestarian Teddy Firman Simanjuntak. – BERNAMA