Sabah Lebih Terbela Jika PKR Perintah Negara – Dr Sangkar Rasam

Sabah Lebih Terbela Jika PKR Perintah Negara – Dr Sangkar Rasam

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah yang baru dilantik, Dr Sangkar Rasam berkata, segala dasar yang mampu membawa kebaikan kepada rakyat Sabah lebih mudah dibincangkan jika parti pusatnya diberikan kuasa untuk memerintah negara.

Katanya, sebagai parti nasional yang sangat menghormati konsep perkongsian kuasa antara tiga wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung, PKR mampu mengembalikan kegemilangan negeri itu.

“PKR bukanlah satu ‘parti Malaya’ tetapi parti nasional yang memikirkan pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan semua rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.

“Parti ini juga ialah satu-satunya parti nasional yang sangat menghormati konsep perkongsian kuasa antara tiga wilayah. PKR mengiktiraf Sabah sebagai satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia.”-ADVERTISEMENT-Ads by 

Tambahnya, salah satu komitmen penting seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti adalah PKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa autonomi, dan MA63 menjadi agenda yang sangat dekat dengan PKR.

Sementara itu, beliau turut yakin gandingan orang lama dan baharu dalam Majlis Pimpinan Negeri (MPN) akan memberikan nilai tambah kepada parti itu untuk membina dan membentuk keupayaan bagi memenangi hati rakyat.

Katanya, pimpinan di setiap peringkat di negeri itu juga perlu menyampaikan aspirasi parti kepada akar umbi bagi mencerahkan lagi peluang PKR untuk menjadi pilihan rakyat di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Puncak kepada perjuangan sesebuah parti politik adalah bertanding dan menang pilihan raya. Ibarat pasukan bola sepak, bukan sahaja setiap pemain ada kemahiran tersendiri, tetapi kerjasama dan keserasian dalam pasukan itu amat penting.

“Dalam masa terdekat, kita akan lancarkan satu pelan kerja untuk menghadapi pilihan raya. Tawaran kita kepada rakyat sudah tentu lebih fokus kepada mempertingkatkan ekonomi keluarga supaya kehidupan mereka lebih selesa,” katanya.

Sangkar yang juga ketua cabang Keningau berkata, PKR perlu diterima rakyat Sabah sebagai wadah perjuangan untuk mengembalikan kegemilangan negeri itu.

Katanya, perjuangan ke arah itu sesuai dengan PKR sebagai parti reformasi bagi memperjuangkan nasib rakyat bawahan dan menentang rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Jika rakyat memahami aspirasi ini, saya rasa tiada sebab rakyat menolak kami pada PRU15,” katanya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan Sangkar sebagai pengerusi baharu MPN PKR, menggantikan Christina Liew yang juga Ahli Parlimen Tawau.

Anwar berkata, Sangkar akan menjalankan tugas dalam satu pasukan bersama Naib Presiden PKR, iaitu Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari dan Christina yang masih kekal sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah. – FMT