Siap Pertahankan Enam Kerusi Parlimen : Azizah

Siap Pertahankan Enam Kerusi Parlimen : Azizah

Kongsikan Berita Ini
Berbincang…..Azizah Mohd Dun ketika mempengerusikan Mesyuarat bulanan Srikandi Bersatu Sabah di Alamesra kelmarin..(kanan) Redonah Bahanda dan (kiri) Amisah Yassin…

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd. Dun menegaskan Bersatu Sabah akan mempertahan kerusi enam Parlimen yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.

“Srikandi Bersatu Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)…

“Kita sewajarnya mempertahankan kerusi yang dimenangi.

“Enam kerusi Parlimen iaitu Kudat, Ranau, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran yang dimenangi oleh Bersatu pada PRU14 lalu,” ujarnya.

Enam kerusi Parlimen tersebut diwakili Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Yamani Hafez Musa (Sipitang) Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi mesyuarat bulanan Srikandi Bersatu Sabah di Alamesra kelmarin.

Hadir sama Naib Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Amisah Yassin (Ranau), Penolong Setiausaha Dato Redonah Bahanda (Kota Marudu), Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Sabah, Anna Bell Perian (Libaran), Setiausaha Kerja Aziah Atoh (Sepanggar) serta ketua-ketua Srikandi bahagian-bahagian.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut menggesa seluruh jentera Srikandi Bersatu Sabah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Menurut beliau, hal ini kerana berdasarkan kepada senario politik semasa ada kemungkinan berlakunya pilihan raya pada bila-bila masa sahaja.

“Srikandi Bersatu akan terus memperkasakan program-program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai untuk memperkasakan jentera parti menghadapi PRU-15,” katanya.

Malah Azizah menyarankan agar kepimpinan Srikandi termasuk di peringkat bahagian dan cawangan supaya mengukuhkan semangat solidariti dan jati diri yang kental dalam memantapkan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kenal pasti pengundi muda di setiap kawasan Parlimen masing-masing, kita perlu lebih peka dengan isu golongan muda yang bakal keluar mengundi pada PRU-15 ini

“KIta perlu mendekati dan lebih kerap turun padang menemui golongan tersebut bagi membolehkan mereka memahami kehendak dan keperluan generasi berkenaan. Usaha itu perlu dilakukan secara berterusan dan bukannya secara bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya,” katanya.

Tambah Azizah, pengundi muda yang berumur 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik perlu didekati bagi menyelami masalah dan isu yang membelenggu golongan berkenaan.

“Kita mesti merancang pelbagai strategi untuk memikat hati pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap Srikandi Muda Sabah akan mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda ini,” ujarnya.