Kualiti Jalan Malaysia Adalah Ke-21 Terbaik Dunia, Lebih Baik Dari Sweden, Kanada, Australia & Britain

Kualiti Jalan Malaysia Adalah Ke-21 Terbaik Dunia, Lebih Baik Dari Sweden, Kanada, Australia & Britain

Kongsikan Berita Ini

PENUNJUK kualiti jalan raya adalah salah satu komponen Daya Saing Global yang diterbitkan setiap tahun oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF). Ia mewakili penilaian kualiti jalan raya di negara tertentu berdasarkan data daripada Tinjauan Pendapat Eksekutif WEF, tinjauan panjang dan meluas yang menyentuh pendapat lebih 14,000 pemimpin perniagaan di 144 negara.

Malaysia menduduki tangga ke-21 daripada 141 negara dalam senarai jalan berkualiti di dunia tersebut. Secara keseluruhan, purata kualti jalan melibatkan 144 negara ini adalah 4.07 mata, pada 2019. Julat mata dalam senarai ini adalah 7 mata bagi kedudukan tertinggi dan satu mata untuk kedudukan terendah.

Bagaimanapun, data terkini bagi tahun 2020 dan 2021 belum lagi diterbitkan WEF.

Carta ini diterajui oleh Singapura dengan 6.5 mata dan nilai terendah datang daripada negara Chad dengan nilai mata 1.9.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh The Global Economy itu, Malaysia menduduki tangga ke-21 di dunia dengan 5.3 mata. Kedudukan berkenaan jauh lebih baik berbanding beberapa negara maju yang turut disenaraikan dalam senarai tersebut.

Berdasarkan dalam senarai tersebut, tahap kualiti jalan di Malaysia lebih baik berbanding Sweden(ke-23), Kanada (ke-31), Australia (ke-33) dan Britain (ke-37).

Singapura mendahului dalam senarai tersebut dan diikuti Belanda, Switzerland, Hong Kong, Jepun, Austria, Emiriah Arab Bersatu dan Korea Selatan.

Bagi kedudukan yang terendah pula ialah milik Chad dengan kutipan mata sebanyak 1. 9 dan tujuh negara diatasnya iaitu Mauritania, Madagascar, Yaman, Haiti, Kongo, Angola dan Guatemala.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia di kedudukan kedua selepas Singapura dan diikuti oleh Brunei (ke-30), Thailand (ke-56), Indonesia (ke-59), Laos (ke-86), Filipina (ke-87) dan Vietnam (ke-104).

Maklumt yang dipaparkan dalam portal tersebut adalah sahih dan berdasarkan soal selidik melibatkan 14,000 tokoh dari 144 negara dari seluruh dunia yang menyertai Forum Ekonomi Dunia berpusat di Davos, Switzerland.

Sumber: The Global Economy