NDRC UMS Anjur Seminar Bencana Alam Peringkat Kebangsaan 24 – 26 Ogos 2022 | Sabah News

NDRC UMS Anjur Seminar Bencana Alam Peringkat Kebangsaan 24 – 26 Ogos 2022 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus…

KOTA KINABALU, SABAH – Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Bencana Alam (SBA) 2022 pada 24 – 26 Ogos 2022.

Seminar dengan Kerjasama Lembaga Geologi Malaysia (BOG), Institut Geologi Malaysia (IGM), Persatuan Geologi Malaysia (GSM) dan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) itu buat pertama kalinya dianjurkan secara maya sejak diperkenalkan pada 2011.

Pengarah NDRC, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, penganjurannya bertujuan sebagai platform para penyelidik menjalinkan hubungan penyelidikan, berbincang dan berkongsi maklumat mengenai isu-isu bencana.

“Di samping itu, ia bagi menyampaikan dan membincangkan maklumat hasil penyelidikan kepada umum, mencanai idea-idea baru bagi menghadapi isu-isu bencana yang melanda, dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pelbagai aspek bencana di negara ini.

“Pada tahun ini, SBA 2022 akan mengetengahkan felo – felo penyelidik pusat dengan pembentangan kertas kerja ucaptama melalui perkongsian hasil penyelidikan dan ilmu berdasarkan bidang kepakaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Carolyn, antara topik utama yang akan diketengahkan dalam seminar pada kali ini adalah bencana aliran debris, tanah runtuh, perubahan iklim serta tsunami.

“Pembentangan ucaptama ini akan disampaikan oleh Profesor Dr. Felix Tongkul, PGeol.; Profesor Madya Dr. Justin Sentian; Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee, PGeol; dan Profesor Madya Ts. Dr. Ejria Saleh.

“Sehubungan itu, saya bagi pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan daripada pemegang taruh (stakeholders) pengurusan bencana alam seperti Agensi Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-Badan Profesional, Ahli-Ahli Akademik, dan Penyelidik dari Institusi Penyelidikan dan Universiti.

“Saya juga mempelawa pihak swasta dan semua agensi atau Badan-badan Bukan Kerajaan mengambil bahagian dalam seminar ini…

“Melalui seminar saintifik ini, pihak NDRC berharap bahawa idea baharu serta ilmu terkini yang bakal diperoleh bermanfaat ke arah pengurusan bencana alam yang lebih menyeluruh dan efektif di Malaysia,” ujar Carolyn.

Dengan tema “Memperkasakan Kedayatahanan Bencana Alam Terhadap Perubahan Iklim Era Pasca Covid–19”, maklumat lanjut tentang SBA 2022 boleh diperolehi melalui laman www.ums.edu.my/fssa/ndrc/sba2022.

Pendaftaran penyertaan juga boleh dibuat dengan menghubungi Setiausaha SBA 2022, Eldawaty Madran di talian 014-5708302 atau eldamadran@ums.edu.my