Seorang Lelaki Meninggal Dunia Ketika Mendaki Gunung Kinabalu

Seorang Lelaki Meninggal Dunia Ketika Mendaki Gunung Kinabalu

Kongsikan Berita Ini

RANAU: Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu dalam kejadian di laluan pendakian Kilometer 3.2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 51 tahun berasal dari Sarawak dikatakan dalam pendakian menuju ke Panarlaban.

Setiba di lokasi kejadian, mangsa mengatakan hendak berehat kepada malim gunung sebelum tiba-tiba rebah.

Malim gunung kemudian melaporkan kejadian itu kepada kakitangan Taman-Taman Sabah (TTS) sebelum menghubungi pihak bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.23 tengah hari.

Katanya, tindakan awal pasukan mencari dan menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), kakitangan TTS dan malim gunung memberi bantuan pernafasan (CPR).

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robertson Stretcher.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 4.30 petang tadi,” katanya. – BH Online