Kibarkan Jalur Gemilang, Lambang Identiti Negara – Salleh

Kibarkan Jalur Gemilang, Lambang Identiti Negara – Salleh

Kongsikan Berita Ini
Salleh ketika berucap…

KOTA BELUD, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menggesa para penduduk Kota Belud untuk mengibar dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara.

Katanya, rakyat perlu bertekad untuk menerapkan mentaliti dan sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang.

“Suntik dalam jiwa rasa hormat kepada Jalur Gemilang kerana ia bukan sekadar selembar kain tetapi merupakan lambang dan tanda kedaulatan sesebuah negara…

“Dalam pada masa yang sama,  jangan kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti serta imej negara dan marilah sama-sama kita memelihara perpaduan sebagai keluarga besar Malaysia.

“Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat cinta dan sayangkan negara bukan sahaja kepada generasi masa kini, tetapi juga generasi masa hadapan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Semarak Gemilang 2022 di perkarangan Majlis Daerah Kota Belud, pada Sabtu.

Dalam majlis yang sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada dua anak jati Kota Belud, Nor Farah Mazlan dan Mohammad Amiruddin Adzmi atas kejayaan merangkul pingat emas dan gangsa dalam Kejohanan Dunia Pencak Silat 2022 di Melaka baru-baru ini.

“Apabila kita menyaksikan Jalur Gemilang berkibar dan lagu Negaraku dinyanyikan pada kejohanan dunia ini, pastinya sebagai rakyat Malaysia terbit rasa bangga melihat mereka berdua menjulang nama negara dalam bidang masing-masing,” tambah beliau.

Selain menyampaikan hadiah penghargaan kepada Nor Farah dan Mohammad Amiruddin, Salleh turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat dan wakil Komuniti Keluarga Malaysia Kota Belud dalam program yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu-lagu patriotik oleh artis PENTARAMA Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, Pegawai Daerah, Peter Jonu Moinjil, Ketua Polis Daerah, Supt. Shahrudin Mat Husain dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Abdul Sani Arsat.