Kami Nak Sebar Politik Rentasi Kaum Ke Semenanjung – Kata Warisan

Kami Nak Sebar Politik Rentasi Kaum Ke Semenanjung – Kata Warisan

Kongsikan Berita Ini

SEBERANG PERAI: Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata tindakan parti itu melebarkan sayap ke Semenanjung bertujuan memecahkan tembok politik perkauman yang membelenggu wilayah berkenaan sejak sekian lama.

“Kami mahu menjadikan Semenanjung seperti Sabah dan Sarawak terutama menerap budaya politik berbilang kaum,” kata Wong pada pelancaran Warisan Pulau Pinang sambil menggambarkan ia adalah peluang keemasan bagi rakyat Malaysia di Semenanjung.

“Ini adalah kali pertama. Justeru, kami meminta saudara dan saudari di Semenanjung memberi peluang kepada kami mewujudkan Malaysia berbilang kaum.

“Inilah masanya kita bergerak ke hadapan sebagai satu masyarakat yang sepatutnya dibangunkan di Malaysia.”-ADVERTISEMENT-Ads by 

Parti berkenaan membuat kemunculan di Semenanjung apabila bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pada pilihan raya negeri, pada Mac. Bagaimanapun, calon bertanding di kesemua kerusi itu tewas dengan mereka kehilangan deposit.

Pada pelancaran parti itu, hari ini, bekas ahli DAP yang juga bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi, diumumkan sebagai ketua Warisan negeri, manakala bekas ADUN Bukit Tengah Ong Chin Wen, yang sebelum ini berada dalam PKR, dilantik sebagai setiausaha.

Empat bekas ahli majlis bandaraya dari Majlis Bandaraya Seberang Perai dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang – Sharuddin Mohd Shariff, Goh Choon Keong, Zaini Awang dan Akmal Azhar – dilantik sebagai ahli majlis pimpinan negeri.

Dalam pada itu, Ketua Penyelaras Warisan di Semenanjung Dr Rajiv Bhanot, berkata Warisan Pulau Pinang dibentuk oleh rakyat negeri itu sendiri dan parti mahu meletakkan Warisan sebagai parti bagi semua rakyat Malaysia, bukan untuk rakyat Sabah semata-mata.

Ketika sidang media selepas pelancaran, Ooi berkata, pihaknya dalam proses mengenal pasti kerusi DUN dan Parlimen berpotensi untuk ditandingi. – FMT