Dua polis bantuan ditahan Didapati minta rasuah daripada pasangan Tengah berkhalwat

Dua polis bantuan ditahan Didapati minta rasuah daripada pasangan Tengah berkhalwat

Kongsikan Berita Ini

JOHOR BAHRU – Dua polis bantuan ditahan kerana disyaki meminta rasuah RM500 daripada sepasang kekasih yang didakwa berkhalwat dalam sebuah kereta di belakang pusat beli-belah di Johor Bahru, pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dua polis bantuan itu masing-masing berusia 25 dan 32 tahun ditahan selepas mangsa iaitu lelaki berusia 25 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada jam 11.23 pagi, Sabtu.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku semasa pasangan berkenaan yang sedang berkhalwat dalam kereta di belakang bangunan pusat beli-belah tersebut didatangi

kedua-dua suspek yang bertugas sebagai polis bantuan di kawasan itu pada jam 10 malam.

“Sebagai ganjaran tidak dikenakan tindakan undang-undang kerana berkhalwat dengan teman wanitanya dalam kereta, suspek meminta wang tunai RM500,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Menurutnya, disebabkan mangsa lelaki tidak mempunyai wang yang cukup, kedua-dua suspek meminta lelaki tersebut menyerahkan kad bank dan nombor pin untuk mereka mengeluarkan wang di mesih ATM.

Beliau berkata, selepas itu, mangsa menerima satu pesanan ringkas melalui telefon bimbitnya daripada pihak bank yang memaklumkan terdapat pengeluaran wang RM1,000 daripada akaun bank miliknya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pada jam 9 malam Sabtu, pegawai penyiasat bersama-sama anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan menangkap kedua-dua suspek tersebut dan merampas RM1,000.