30 Kanak-Kanak Hadir Program “Meet & Greet: Sabah Parent Support Group For Hearing Impaired Children 2022” | Sabah News

30 Kanak-Kanak Hadir Program “Meet & Greet: Sabah Parent Support Group For Hearing Impaired Children 2022” | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

GAMBAR KENANGAN…. Dr. Rose berserta kanak-kanak dan ibubapa merakamkan gambar kenangan sejurus majlis perasmian disempurnakan…

KOTA KINABALU: Lebih 30 kanak-kanak menghadapi masalah pendengaran dan pertuturan hadir pada Program “Meet & Greet: Sabah Parent Support Group For Hearing Impaired Children 2022” bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC) Kota Kinabalu pada Sabtu. (6 Ogos 2022).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin semasa hadir merasmikan program berkata, peranan dan tanggungjawab serta sokongan berterusan ibubapa yang mempunyai anak mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, sangat penting.

Sehubungaan itu, sesi mahupun platform untuk berkongsi pengalaman dan maklumat amat perlu agar ibubapa sentiasa bermotivasi dalam menempuh proses membesarkan dan mengurus anak-anak bermasalah pendengaran.

Menurut Rose Nani, program “Meet & Greet: Sabah Parent Support Group For Hearing Impaired Children” anjuran Unit Audiologi dan Terapi Pertuturan Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu bukan sahaja memberi pendedahan tentang peranan dan tanggungjawab ibubapa yang mempunyai anak mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, sebaliknya memaklumkan kepada masyarakat mengenai masalah berkaitan secara lebih khusus.

‘Masyarakat juga perlu dimaklumkan bahawa masalah pendengaran boleh terjadi pada individu di semua peringkat umur termasuklah masalah pendengaran semenjak lahir dan keturunan’, jelasnya.  

‘Merujuk data terkini, Empat daripada 1,000 bayi yang menjalani Saringan Pendengaran Universal Neonatal (UNHS) dikenal pasti mengalami masalah dan kecacatan pendengaran. 

Sehubungan itu setiap ibubapa perlu peka terhadap tahap pendengaran anak-anak termasuklah sejarah kesihatan keluarga kerana pengesanan awal (early detection) memudahkan proses pemulihan dilakukan.

Tambahnya, tanggungjawab dan tugas pengawasan terhadap kanak-kanak mengalami masalah pendengaran dan pertuturan sememangnya mencabar. Namun merujuk kepada beberapa kes perubatan, hasil sokongan dan pengawasan berterusan ibubapa, tidak mustahil anak-anak yang menghadapi masalah ini mampu pulih seterusnya dapat menjalani aktiviti harian seperti kanak-kanak biasa.

Terdahulu Timbalan Ketua Profesion Audiologi HQE, Siti Aminah Kamaludin dalam ucapan alu-aluannya berkata, pihak hospital melalui Unit Audiologi, Jabatan Otorinolaringologi (ORL) HQE sentiasa mengambil inisiatif melaksanakan pelbagai aktiviti agar masyarakat serta ibubapa maklum dan sedar mengenai masalah berkaitan pendengaran dan pertuturan. 

Selain memastikan temujanji antara kanak-kanak dengan pakar perubatan dilakukan secara berkala, ibubapa juga harus memastikan penggunaan alat bantu pendengaran sentiasa diselanggara penggunaanya secara optimum.

Siti Aminah juga berharap melalui program seumpama ini hubungan antara kanak-kanak dan keluarga dengan pihak hospital terus dirapatkan demi kesejahteran kanak-kanak dari masa ke masa, jelasnya.

Hadir sama pada majlis Pakar Otorinolaringologi (ORL) HQE Dr. Ahmad Nordin Afandi serta Pengerusi Program Sitti Ladyia Mohd Salleh.