Kerajaan Sasar Wujud Lebih 4,000 Tan Metrik Stok Penimbal Ayam | Sabah News

Kerajaan Sasar Wujud Lebih 4,000 Tan Metrik Stok Penimbal Ayam | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





Gambar Hiasan…

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 4,536 tan metrik stok penimbal ayam menjelang akhir Disember.

Menurut beliau, ini bagi menjamin keperluan ayam sentiasa mencukupi dan harga ayam sentiasa stabil.

Beliau berkata, Lembaga Pertubuhan Peladang diberi tanggungjawab bagi melaksanakan usaha berkenaan dan jumlah itu mencukupi bagi keperluan seminggu berasaskan keperluan 1.8 juta ekor sehari isi rumah Keluarga Malaysia.

“Ini sesuatu yang baharu kita akan laksanakan, setelah kita membenarkan produk itu diimport dari beberapa negara sumber dan juga stok dari penternak dalam negara…

“Bukan bermakna ayam itu kita simpan pada tempoh tertentu, tetapi dibenar dikeluarkan di pasaran secara berperingkat bagi menentukan stok sentiasa cukup dan harganya tidak naik,” katanya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memantau stok ayam bulat yang diimport dan ayam segar tempatan bagi menentukan tidak berlaku ‘lebihan pembekalan.’

Katanya, KPDNHEP juga akan memantau bekalan stok ayam dari semasa ke semasa dan melihat sekiranya terdapat bekalan berlebihan, ia akan kembali dibenarkan untuk dieksport.

“Kita dapat maklumat memang ada lebihan stok ayam dan harganya juga telah mula stabil, malah lebih rendah dari harga siling ditetapkan, namun kerajaan belum buat apa-apa keputusan mengenai kebenaran untuk eksport semula kerana ingin pastikan bekalan berada dalam keadaan stabil,” katanya.