YNJ Sampaikan Sumbangan Kepada Golongan Veteran ATM | Sabah News

YNJ Sampaikan Sumbangan Kepada Golongan Veteran ATM | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

PAPAR, SABAH – Yayasan Nur Jauhar (YNJ) telah mengadakan lawatan ke Persatuan Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) bagi menyampaikan sumbangan kepada 40 ahlinya.

Pengerusi YNJ, Brigedier Jeneral Al Hambra Juhar berkata lawatan tersebut adalah bersempena sambutan hari pahlawan dan bulan kebangsaan.

“Program kali ini adalah bersempena dengan bulan kemerdekaan dan hari pahlawan yang mana keprihatinan pihak Istana Seri Kinabalu untuk meraikan veteran ATM yang telah berkhidmat kepada negara.

“Esok, program sama akan diadakan di daerah Beaufort dan difahamkan seramai 36 ahli PVATM dari Beaufort dan 10 ahli dari Cawangan Sipitang,” ujar beliau dalam Majlis Penyerahan Sumbangan YNJ Kepada Ahli PVATM di Dewan Perpustakaan Papar, hari ini.

Mengulas mengenai bulan kebangsaan, Al Hambra menyeru masyarakat agar mengibarkan jalur gemilang di kediaman, kenderaan ataupun pejabat masing-masing bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik.

Hadir menyempurnakan majlis penyerahan tersebut ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni sambil diiringi Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal, Pengerusi Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim.

Sementara itu, Pengawal Keselamatan SK Pekan Kimanis, Ahmad Idris, 58, dari Kg Brunei Kimanis yang ditemui gembira kerana nasib rakan-rakan PVATM mendapat perhatian daripada pemimpin.

“Saya berterima kasih kerana ini kali pertama kami menerima sumbangan daripada pihak YNJ dan bagi pihak rakan-rakan PVATM, kami berbangga kerana jasa serta pengorbanan kami dihargai oleh masyarakat,” katanya.

Malah, bekas anggota Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) Kem Penrissen Kuching itu menggesa lebih ramai veteran ATM mendaftar menjadi ahli untuk menjaga kebajikan sesama ahli.

Terharu dengan sumbangan berkenaan, balu kepada Allahyarham Kpl (B) Kaling Yaakub iaitu Fatimah Samsudin, 70, dari Kg Biau Bongawan.

“Terima kasih banyak kepada pihak istana, sumbangan ini dapat menampung keperluan hidup kami sekeluarga,” jelas nenek kepada tiga cucu yang juga penerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan.