Wujudkan Penternakan Ikan Di MESEJ Kg Nabahab – Ruslan | Sabah News

Wujudkan Penternakan Ikan Di MESEJ Kg Nabahab – Ruslan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Ruslan (dua dari kanan) bersama Jahid (dua dari kiri) ketika membuat tinjauan ke kawasan kolam menternak udang galah sama MESEJ Kg Nabahan, pada Selasa….

BEAUFORT, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam menyambut baik kehadiran Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim dalam lawatan kerjanya ke Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kampung Nabahan, di sini, pada Selasa.

Ruslan telah membawa Jahid dan rombongan meninjau ke sepuluh buah kolam yang menternak udang galah di MESEJ tersebut…

Menurut Ruslan, projek menternak udang galah ini telah bermula sejak tahun 2011 lagi, namun ia tidak mendatangkan hasil yang memuaskan kerana terdapat beberapa permasalahan yang dihadapi antaranya binatang liar memasuki sekitar kawasan kolam, ketiadaan bekalan elektrik, pembimbing tidak memberikan bimbingan yang sepatutnya diberikan kepada penternak udang galah dan masalah tanah mendap yang mana kolam yang dibina adalah dalam kawasan paya pada asalnya.

“Apabila air pasang tiba, kesemua hasil ternakan dalam kolam akan melimpah keluar,” jelasnya, sambil menambah ini menyebabkan projek tersebut tidak dapat terus diusahakan.

Bagi memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk dalam kalangan B40 di kampung ini, Ruslan berkata, beliau telah mengemukakan cadangan kepada Jahid untuk pembangunan projek penternakan ikan ini.

“Kolam ini juga berpotensi untuk dijadikan pusat penternakan ikan seperti ikan Lampan Jawa, Talapia, Selunsung dan lain-lain,” kata Ruslan.

Katanya, kerja menyelenggara boleh dibuat dengan membina tembok dan pagar-pagar agar air tidak akan melimpah keluar apabila berlakunya air pasang dan binatang buas tidak memasuki kawasan kolam.

Menurut beliau, sebagai nilai tambah bagi kawasan ini, di sini juga terdapat destinasi pelancongan yang mempunyai monyet Proboscis yang terdapat di Sungai Weston.

“Saya berharap pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memberikan perhatian yang serius kepada perkara ini,” katanya…

Turut hadir dalam lawatan kerja berkenaan ialah Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah I dan II, Harun Durabi dan Samad Jambri; Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) negari Sabah, Datuk Matbali Hj Musah; kakitangan Pejabat Daerah Beaufort, Mahkamah Anak Negeri (MAN), UPPM Lumadan, Pegawai Daerah dan Penguasa Perikanan daerah Beaufort.

Ruslan turut mengucapkan terima kasih kepada Jahid yang mengadakan lawatan kerja ke MESEJ Beaufort kali ini.