JANS Digesa Selesaikan Gangguan Bekalan Air Dengan Segera | Sabah News

JANS Digesa Selesaikan Gangguan Bekalan Air Dengan Segera | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Eric…

KOTA KINABALU: Ketua Biro Aduan Awam Parti Liberal Demokratik (LDP) Eric Lau menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar menyelesaikan segera gangguan bekalan air.

Beliau berkata, beliau sering menerima aduan daripada penduduk di sekitar Sembulan, Tanjung Aru, Kepayan, Petagas dan Kota Kinabalu mengenai gangguan bekalan air yang sudah berlarutan selama berbulan-bulan lamanya.

“Bekalan air telah menjadi isu bertahun lamanya tetapi tiada penyelesaian tuntas diusahakan untuk kebaikan rakyat…

“Keadaan menjadi tenat apabila gangguan bekalan air itu turut menjejaskan penduduk di bangunan kondominium,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kekurangan cara penyelesaian gangguan bekalan air telah memaksa penduduk untuk mencari bekalan berkenaan sendiri khususnya mereka yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan pam air.

Katanya, perkara yang mengecewakan adalah Jabatan Air Negeri masih tidak mempunyai jalan penyelesaian berkesan bagi menyelesaikan perkara ini.

Menurutnya, menteri berkaitan baru-baru ini memberikan jaminan bahawa ratusan pakar teknikal dibawah kementeriannya akan menyelesaikan isu terbabit.

“Saya berharap pengumuman itu bukan hanya sekadar kata-kata manis kepada orang awam sahaja.

“Pegawai kerajaan berkaitan juga perlu mengambil maklum aduan awam dengan serius dan mereka yang mengamalkan sikap biadap tidak seharusnya dikekalkan sebagai penjawat awam,” katanya.

Eric berkata, dengan kenaikan gaji sebanyak 40 peratus, para menteri dan wakil rakyat perlu berkhidmat dengan lebih baik seterusnya mengatasi masalah dihadapi rakyat dengan berkesan.

“Malaysia telah memperuntukkan jutaan ringgit untuk mengatasi masalah rakyat, kita sepatutnya sudah boleh menampakkan penambahbaikan khususnya dalam kemudahan asas serta awam, tetapi kita masih tidak nampak sebarang kemajuan.

“Mungkin hanya menteri dan wakil rakyat sahaja tahu sama ada peruntukan yang disalurkan itu sudah dibelanjakan dengan amanah terhadap projek berkaitan,” katanya lagi.