Ambil Tindakan Proaktif Tangani Masalah Buaya Di Sungai Kinabatangan – Bung | Sabah News

Ambil Tindakan Proaktif Tangani Masalah Buaya Di Sungai Kinabatangan – Bung | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Bung…

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan khususnya Jabatan Hidupan Liar diminta agar mengambil tindakan proaktif untuk menangkap buaya-buaya yang terdapat di Sungai Kinabatangan.

Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (gambar) berkata penangkapan berkenaan perlu dilakukan dengan kadar yang segara agar keselamatan penduduk yang mencari sumber rezeki di sungai Kinabatangan tidak terancam.

Minggu lepas seorang wanita maut dibaham buaya ketika keluar memancing di sebuah anak Sungai Kinabatangan di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya…

Mayat mangsa Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 6.53 pagi Ahad lepas oleh penduduk kampung iaitu kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian mangsa diserang haiwan reptilia itu.

“Ini bukan yang pertama kali berlaku malah sudah ramai mangsa menjadi korban ekoran keganasan buaya-buaya di sungai Kinabatangan, justeru tindakan segara untuk menangani isu ini perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agar keselamatan penduduk di kawasan terlibat terjamin.

Mayat Mangsa Norsila Sayong, 32, ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada jam 6.53 pagi Ahad lepas oleh penduduk kampung iaitu kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian mangsa…

“Kerajaan perlu mengambil langkah dengan mengwujudkan peraturan atau akta sebagai mana yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dengan membenarkan menangkap dan membunuh buaya secara berkala dan sistematik bagi mengurangkan jumlah haiwan,” kata Bung.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga menambah bahawa susulan kejayaan Malaysia menurun taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II di mesyuarat Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES) di Afrika Selatan berharap keputusan tersebut akan membolehkan buaya di Sabah diburu serta diperdagangkan.

“Saya berharap satu kajian akan dapat dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai isu ini dan tindakan susulan akan dapat kita lakukan bagi mengurangkan popalasi buaya di negeri ini demi menjamin keselamatan penduduk terutamanya yang tinggal di kawasan berhampiran sungai,” katanya.

Beliau berkata ianya diharapkan keluarga mangsa bersabar menerima ujian itu dan menasihatkan penduduk di kawasan terlibat supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai.