Pemimpin Muda Perlu Belajar, Asah Kepimpinan Jadi Pelapis Parti PBS

Pemimpin Muda Perlu Belajar, Asah Kepimpinan Jadi Pelapis Parti PBS

Kongsikan Berita Ini

TAMPARULI, SABAH – Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim berkata, para pemimpin muda perlu mula belajar, asah kepimpinan masing-masing agar mampu menjadi pelapis kepimpinan di Tamparuli.

Beliau berkata, pemimpin sayap Pemuda dan Wanita perlu menonjolkan diri mereka bagi meneruskan legasi kepimpinan yang mantap di kawasan Tamparuli.

“Kita memerlukan pemimpin pelapis bagi meneruskan kesinambungan parti, malah hasrat untuk meremajakan parti merupakan salah satu agenda utama kita dalam PBS,” katanya…

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kesyukuran Ahli Jawatankuasa (AJK) PBS N.14 Tamparuli, di Kiulu Rainforest Park (KRP), pada Ahad.

Menurutnya, untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat, seseorang perlu bekerja keras dan banyak berlatih, pandai memerhati, mendengar dan bekerja bersama dengan pemimpin-pemimpin sedia ada.

“Dalam era politik masa kini, trend rakyat di negara ini kelihatan cenderung mahu melihat barisan pentadbiran didominasi oleh golongan muda yang akan bekerja memajukan negara.

Oleh itu, katanya, penampilan muka baharu dalam kalangan orang muda dan profesional akan menjadi satu daripada kriteria penting bagi pengundi untuk menzahirkan sokongan mereka.

“Politic is a matter of personality, itulah yang selalu kita tekankan kepada para pemimpin agar sentiasa menjaga keperibadian mereka, supaya sentiasa dihormati dan disenangi rakyat.

Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, berkata, seseorang pemimpin seharusnya memiliki ciri-ciri keperibadian yang terhasil daripada disiplin serta amalan mulia yang diterapkan sepanjang kehidupan mereka.

Program selama sehari sebagai apresiasi kepada kemenangan PBS di Tamparuli pada Pilhanraya Negeri Ke-16 lalu itu menyaksikan kehadiran lebih kurang 50 AJK Bahagian PBS Tamparuli merangkumi Induk, Wanita dan Pemuda.