KERAJAAN TELAH TENTUKAN HARGA SILING BERGERAK MINYAK MASAK BOTOL

KERAJAAN TELAH TENTUKAN HARGA SILING BERGERAK MINYAK MASAK BOTOL

Kongsikan Berita Ini
Harga siling minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (kg) akan ditetapkan pada harga RM34.70 di peringkat runcit di seluruh negara…

PUTRAJAYA – Harga siling minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (kg) akan ditetapkan pada harga RM34.70 di peringkat runcit di seluruh negara meliputi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan berkuat kuasa 8 Ogos ini.

Turut ditentukan juga ialah harga siling minyak masak kemasan botol bagi 1kg iaitu RM7.70, RM14.70 bagi 2kg dan RM21.70 bagi 3kg…

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI), semalam menyaksikan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi ditentukan secara bulanan untuk seluruh Malaysia.

“Ianya akan ditetapkan mengikut harga purata minyak sawit mentah (CPO) bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya…

“Harga purata bulanan minyak sawit mentah (CPO) akan ditentukan oleh Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada setiap 1hb tiap bulan diikuti dengan pengumuman harga siling minyak masak tulen kemasan botol bagi bulan tersebut yang akan berkuat kuasa pada setiap 8hb. sehingga 7hb. bulan berikutnya.

“Berdasarkan perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), harga purata CPO bagi Julai 2022 adalah RM4,603,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata menerusi pengiraan KPDNHEP dengan mengambil kira semua faktor yang berkaitan di samping rundingan bersama pemain industri minyak sawit, harga maksimum jualan di peringkat peruncit untuk botol 5kg bagi Ogos 2022 ditetapkan pada paras RM34.70.

“Mekanisme di sebalik penetapan harga siling ini dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa CPO.

“Bagaimanapun, penetapan harga siling juga mengambil kira beberapa aspek kos luar jangka seperti logistik, termasuk situasi dialami segelintir peruncit untuk menghabiskan bekalan minyak masak tulen yang dibeli dengan harga lama.

“Selain itu, perintah larangan mengeksport minyak masak tulen tidak bersubsidi dalam semua bentuk kemasan polibeg diwartakan pada Isnin, 1hb Ogos 2022 untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengeksport di samping meningkatkan keberkesanan pemantauan bagi mengurangkan ketirisan barangan kawalan serta subsidi,” beliau berkata.