KES PEMALSUAN PETER ANTHONY DIBENARKAN TANGGUH | Sabah News

KES PEMALSUAN PETER ANTHONY DIBENARKAN TANGGUH | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Peter Anthony…

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen membenarkan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Peter Anthony untuk menangguh sabitan dalam kes pemalsuannya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Azura Alwi berkata beliau membenarkan permohonan itu melalui afidavit, undang-undang kes serta hujahan bertulis dan lisan oleh peguam Peter dan pihak pendakwaan.

“Saya berpuas hati dan telah memutuskan untuk membenarkan penangguhan sabitan dan hukuman,” katanya dalam keputusan lisan ringkas hari ini.

Peter memfailkan permohonan itu pada Jun untuk mengekalkan sabitan bagi membenarkannya bertanding kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Pada 26 Mei, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas Peter didapati bersalah memalsukan surat daripada pejabat timbalan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk kerja kontrak penyelenggaraan sistem.

Peter yang juga ADUN Melalap turut didenda RM50,000, atau penjara 15 bulan jika ingkar.

Bagaimanapun, Azura memerintahkan jumlah ikat jamin dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM80,000 hari ini untuk dia dibebaskan sementara menunggu rayuannya.

“Semua syarat ikat jamin lain yang dikenakan sebelum ini kekal,” katanya sambil menambah RM30,000 tambahan itu mesti dibayar selewat-lewatnya pada hari Rabu.

Peter hanya memohon penangguhan hukuman selepas sabitan iaitu pada 26 Mei. Bagaimanapun, beliau memfailkan permohonan untuk menangguhkan sabitan pada 3 Jun lalu.

Peguam Peter, D Senthinathan, yang memfailkan afidavit untuk menyokong permohonannya berkata terdapat “kes istimewa” untuk mewajarkan penangguhan sabitan itu.

Memetik sumber FMT, Senthinathan mengulas kebimbangan bahawa Peter boleh hilang kelayakan oleh Pegawai Pengurus pilihan raya sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding pada PRU15.

Perlembagaan persekutuan dan negeri menyatakan bahawa ahli parlimen atau ADUN hilang kelayakan jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lebih setahun dan denda lebih RM2,000, jika mereka tidak berjaya mendapat “pengampunan percuma”.