Perbezaan Agama Tidak Halang Penyatuan Ummah Masyarakat Berbilang Kaum | Sabah News

Perbezaan Agama Tidak Halang Penyatuan Ummah Masyarakat Berbilang Kaum | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata perbezaan agama tidak menghalang penyatuan ummah masyarakat berbilang kaum negeri ini.

Katanya, pengamalan konsep hijrah yang berpaksikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW mampu membina hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan yang utuh.

“Ingatlah peristiwa hijrah yang berjaya menjalin hubungan kekeluargaan dan kemanusiaan biarpun berlainan budaya dan keturunan tetapi bertunjangkan Islam dan kasih sayang…

“Penerapan nilai-nilai murni, kebersamaan, berkasih sayang dan saling menghormati sesama sendiri mampu membina kekeluargaan dan sifat kemanusiaan yang utuh.

“Semoga dengan ketibaan tahun baru ini, memberi iltizam pemangkin dalam usaha mengukuhkan penyatuan ummah sesama masyarakat Islam mahupun masyarakat berbilang bangsa di negeri ini berpaksi atas penghayatan dan pengamalan konsep hijrah dalam pelbagai aspek kehidupan. 

“Selaras dengan aspirasi itu, usaha yang konsisten dalam menerapkan kekeluargaan dalam pembinaan masyarakat yang rahmah terhadap seluruh lapisan masyarakat perlu menjadi agenda utama,” ujar beliau.

Tun Juhar berkata demikian ketika membaca perutusan perasmian sempena Hari Ma’al Hijrah 1444H/2022M Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma Muis,semalam.

Selain itu, Tun Juhar turut menyeru masyarakat bersatu dalam keluarga Malaysia selaras dengan tema sambutan hari Ma’al Hijrah bagi tahun ini.

“Saya menyeru kepada sekalian rakyat negeri ini untuk mempertahankan amalan hidup bermuafakat dan bersatu padu sebagai sebuah keluarga Malaysia, selaras dengan tema sambutan Ma’al Hijrah tahun ini iaitu iaitu ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’…

“Semoga dengan kehadiran tahun baru Hijrah 1444H ini akan menjadikan kita ummah yang unggul dan bersiap siaga menghadapi cabaran yang semakin mencabar pada masa akan datang seterusnya masih dalam naungan rahmah dan hidayat Rabbul ‘Alamin menuju ke kehidupan yang lebih diredhaiNya,” tambahnya.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Tugas-Tugas Khas selaku Pengerusi Penganjur Sambutan Ma’al Hijrah 1443H, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Kadzim M Yahya dan Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Seri Yahya Hussin.