KYS Tingkatkan Pembudayaan Kerja Selamat Dalam Kalangan Warga Kerja | Sabah News

KYS Tingkatkan Pembudayaan Kerja Selamat Dalam Kalangan Warga Kerja | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar berkata Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) kini dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran pembudayaan kerja selamat dalam kalangan warga kerjanya.

Katanya seiring dengan usaha itu, KYS melaksanakan pemeriksaan tempat kerja, audit keselamatan dan kesihatan pekerjaan, melayani kes-kes pelaporan Hazard serta memastikan semua prosedur Covid-19 dipatuhi.

“Pasukan sanitasi bagi mengekang penularan virus Covid-19 ditubuhkan pada bulan Ogos 2021 dan  telah melaksanakan sebanyak 137 operasi nyahkuman di pejabat-pejabat Menara Tun Mustapha dan Wisma Innoprise.

“Keperluan pensanitasian ini penting untuk mencegah penularan dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga KYS, lebih-lebih lagi dengan kemunculan pelbagai varian baharu yang lebih berbahaya.

“Diharap semua ketua bahagian dan anak syarikat KYS dapat terus memantau serta menasihati staf di bawah seliaan mereka agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah melindungi diri dari jangkitan virus Covid-19 demi memastikan keadaan pejabat selamat kepada semua staf yang datang bertugas,” ujar beliau pada Majlis Perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) KYS, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ghulamhaidar turut menyatakan bahawa OSH Week merupakan program tahunan yang disambut di seluruh negara dan tema OSH Week KYS pada kali ini iaitu “Hidup Bersama Covid-19 – Langkah Ke Hadapan” adalah amat bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Permasalahan virus Covid-19 berkemungkinan tidak akan ada penghujungnya dan kita harus menerima hakikat bahawa kita akan hidup bersama dengan virus ini…

“Pengetahuan yang kita perolehi dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini tentang cara-cara melindungi diri daripada virus Covid-19 perlu diteruskan dan diamalkan agar diri dan keluarga khususnya yang berisiko tinggi terhindar daripada jangkitan virus berbahaya,” jelasnya.

Hadir sama, Pengurus Kumpulan Kanan Yayasan Sabah Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat, Zulkhairi Ismail dan Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sabah, Ady Norman Sulaiman.