Jual Petrol Tanpa Lesen, Dua Lelaki Semporna Didenda Puluh-Ratusan Ribu | Sabah News

Jual Petrol Tanpa Lesen, Dua Lelaki Semporna Didenda Puluh-Ratusan Ribu | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SEMPORNA, SABAH – Seorang lelaki warga asing tanpa dokumen dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 dan enam bulan penjara manakala seorang lagi lelaki warga tempatan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM75,000 dan tiga bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Tawau semalam.

Kesalahan mereka adalah kerana masing-masing berurusan 100 liter dan 75 liter petrol tanpa lesen atau permit barang kawalan di sebuah Stesen Minyak di sini…

Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Yang Arif, Awang Kerisnada Awang Mahmud telah menjatuhkan hukuman denda RM100,000 dan enam bulan penjara selepas tertuduh iaitu Mahahadil Hamsali mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.

Seorang lelaki warga tempatan yang dikenali sebagai Muslimin Mohammad dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM75,000 dan tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata kedua-dua lelaki tersebut dipercayai berurusan minyak petrol masing-masing sebanyak 100 liter dan 75 liter di Stesen Minyak di Semporna tanpa sebarang lesen atau permit barang kawalan.

“Mahkamah juga telah memerintahkan agar barang kes ini iaitu minyak petrol berjumlah 175 liter dan dua buah kereta sorong terbabit diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Semporna untuk dilupuskan.

“Pendakwaan bagi kedua-dua kes ini telah dikendalikan oleh Dr. Jong Jee Leong, Pegawai Pendakwa, KPDNHEP Cawangan Semporna, Sabah.

“Kementerian ini mengingatkan supaya mana-mana orang yang menjalankan apa-apa perdagangan atau perniagaan dan ada dalam milikannya kuantiti minyak petrol melebihi 20 liter untuk membuat permohonan secara bertulis kepada Pengawal Bekalan bagi mendapatkan permit atau permit khas.

“Pejabat KPDNHEP Negeri Sabah amnya dan KPDNHEP Cawangan Semporna khasnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Semporna yang telah memberikan kerjasama yang erat serta merupakan pasukan serbuan bagi kes terbabit,” katanya dalam sebuah kenyataan.