Jawatankuasa Antara Parti Berkaitan MA63 Boleh Satukan Pemimpin Sabah Tuntut Hak – Ewon | Sabah News

Jawatankuasa Antara Parti Berkaitan MA63 Boleh Satukan Pemimpin Sabah Tuntut Hak – Ewon | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick…

KUALA PENYU, SABAH – Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan cadangan penubuhan Jawatankuasa Antara Parti di peringkat Dewan Undangan Negeri boleh menyatukan pemimpin-pemimpin Sabah dari pelbagai parti untuk menuntut hak seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia.

Menurut Ewon, kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang kini bercakap dengan nada yang sama berkenaan dengan cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut.

“Dalam ucapan sulung saya di DUN, saya mengutarakan cadangan penubuhan Jawatankuasa Antara Parti MA63 dan terus konsisten dengan cadangan ini setiap kali DUN bersidang.

“Rakan-rakan dalam blok Kerajaan juga kini bercakap mengenai cadangan ini…

“Apabila dilaksanakan, saya percaya jawatankuasa inilah yang akan dapat menyatukan pemimpin-pemimpin Sabah khususnya di peringkat DUN untuk sama-sama menuntut hak kita dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menurut beliau, tuntutan hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan merupakan tanggungjawab bersama semua pemimpin Sabah meskipun pendekatan yang diambil untuk memperjuangkan tuntutan adalah berbeza.

“Dalam sidang DUN baru-baru ini, saya sekali lagi mengulangi cadangan penubuhan jawatankuasa antara parti ini.

“Di blok kerajaan, pendekatan melalui perundingan boleh diteruskan. Di blok pembangkang, kita boleh ambil pendekatan mengambil tindakan undang-undang sepertimana kita memfailkan saman pemula menuntut hak 40% hasil persekutuan di Sabah.

“Pendekatan adalah berbeza, tetapi matlamat kita adalah sama…

“Saya juga telah mencadangkan agar platform DUN digunakan dengan sebaiknya seperti memperkenalkan enakmen khas bagi memungut kutipan hasil persekutuan 40% di Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan adanya enakmen kita sendiri, kita boleh mempastikan Kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab perlembagaan…

“Ini sama seperti kita memperkenalkan enakmen cukai jualan produk petroleum sebanyak 5 peratus pada tahun 2019 yang kini telah dapat menjana lebih RM2 bilion pendapatan kepada Sabah dari syarikat-syarikat berkaitan gas dan minyak di Sabah.

“Saya berbangga kerana menjadi sebahagian daripada anggota kabinet dan ADUN yang telah meluluskan enakmen ini pada tahun 2019 tersebut,” katanya.

Ewon yang juga merupakan ADUN Kadamaian menyatakan demikian semasa berucap di mesyuarat agung tritahunan UPKO Bahagian Beaufort di sini, hari ini.

Mesyuarat agung tersebut dirasmikan oleh Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Madius Tangau.

Menurut Ewon, beliau telah mencadangkan agar penubuhan Jawatankuasa Antara Parti tersebut dibuat melalui sidang khas DUN di Sabah pada bulan September iaitu sempena bulan penubuhan Malaysia.

“Dalam sidang DUN baru-baru ini juga, saya bersama dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah sempat mengadakan perbincangan santai dengan Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri. Kami diberitahu mereka telah bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa antara parti tersebut.

“Dalam perbincangan tersebut, saya telah mencadangkan agar satu sidang khas DUN diadakan pada bulan September untuk memuktamadkan penubuhan jawatankuasa tersebut. Cadangan ini akan dibincangkan lanjut di kabinet Sabah. Kami berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana progresif dan terbuka menerima pandangan kami,” katanya.