PEGUAM BAHARU NAJIB PERLU BERSEDIA ANDAI MAHKAMAH TIDAK BENARKAN KES DITANGGUH | Sabah News

PEGUAM BAHARU NAJIB PERLU BERSEDIA ANDAI MAHKAMAH TIDAK BENARKAN KES DITANGGUH | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Seri Najib Razak…

PUTRAJAYA – Barisan peguam baharu yang mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC International) perlu bersedia meneruskan kes sekiranya mahkamah tidak membenarkan ia ditangguh ke suatu tarikh lain.

Peguam T Vicknaraj, berkata biarpun bekas Perdana Menteri itu berhak memilih peguam mewakilinya dalam perbicaraan, peguam terbabit juga terikat etika dan peraturan ditetapkan undang-undang.

Beliau yang dipetik BH berkata, peruntukan dalam Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978 menetapkan seseorang peguam bela dan peguam cara untuk tidak menerima sesuatu kes melainkan beliau ada keyakinan bahawa mampu mewakili anak guamnya di mahkamah pada tarikh ditentukan.

“Setiap peguam bela dan peguam cara tertakluk etika dan peraturan. Mereka perlu sentiasa bersedia apabila menerima sesebuah kes dan tidak beranggapan mereka berhak mendapatkan penangguhan daripada Mahkamah…

“Peguam tidak boleh menganggap berlaku ketidaksaksamaan jika mahkamah tidak membenarkan penangguhan kes apabila permohonan dibuat,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International yang dihadapinya di Mahkamah Persekutuan.

Ia susulan pemberhentian khidmat peguam Muhammad Shafee dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakili beliau dalam rayuan akhir kes berkenaan.

Terdahulu pada Selasa, Najib melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (“ZIST”) sebagai peguam cara baharu.

Dalam pada itu, Vicknaraj mengakui wujud persepsi bahawa tindakan Najib itu seperti sengaja untuk melengah-lengahkan prosiding yang sepatutnya berjalan pada pertengahan bulan depan, namun peguamnya juga bertanggungjawab untuk tidak membenarkan institusi kehakiman turut terseret dalam persepsi negatif itu.

Ia berikutan peguam utama yang dilantik mewakili Najib iaitu Hisyam Teh Poh Teik, juga mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Vicknaraj berkata, peguam mempunyai tanggungjawabnya kepada mahkamah yang melangkaui tugasnya terhadap anak guam.

“Memang ada persepsi sedemikian berikutan Najib bukan sekadar menukar peguam, sebaliknya pasukan guamannya,” katanya.

Ditanya adakah beliau melihat prosiding itu boleh diselesaikan menjelang akhir tahun ini, Vicknaraj berkata, ia boleh berlaku namun mahkamah juga perlu bertegas dengan tidak memberi peluang dan ruang untuk sebarang usaha menangguhkan kes seandainya ia berlaku.

Najib merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu, yang mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana.