Adat Resam Perlu Dikekalkan, Diperkasa – Dr. Joachim | Sabah News

Adat Resam Perlu Dikekalkan, Diperkasa – Dr. Joachim | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Dr. Joachim (duduk, empat dari kiri) bersama dengan Simiun (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama dengan peserta program yang hadir…

RANAU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, adat resam perlu dikekalkan dan terus diperkasa untuk generasi akan datang.

Kerana itu, katanya, program seperti pemerkasaan adat perlu diadakan secara berterusan agar ianya tidak dilupakan oleh masyarakat setempat.

“Selain mengekalkan dan memperkasa adat resam, usaha juga perlu dibuat untuk menyeragamkan kesalahan-kesalahan adat yang setara,” katanya, sambil menambah, terdapat juga keperluan untuk membukukan semua adat-adat resam suku-suku kaum yang ada di Sabah.

Ini kerana terdapat banyak suku kaum di Sabah yang mempunyai adat resam yang mungkin berlainan antara satu dengan yang lain, jelasnya…

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata demikian pada Program Pemerkasaan Adat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang telah diadakan bagi Mukim Kaingaran, di sini semalam.

Program tersebut yang disertai lebih kurang 80 orang peserta, bertujuan untuk memperkasakan adat resam agar tidak dilupakan oleh masyarakat setempat yang terdiri daripada suku kaum Kadazandusun.

Antara kampung yang terlibat ialah Kg. Kaingaran, Kg. Kotog, Kg. Pinintudaan, Kg. Meridi, Kg. Pamaitan dan Kg. Tinongian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Ranau, Simiun Lomudin menasihati pemimpin di peringkat kampung termasuk ketua-ketua adat untuk membantu Kerajaan menyedarkan masyarakat tentang penipuan dalam talian, pemilikan senjata api buatan sendiri (bakakuk) selain mengadakan program sukarelawan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) untuk menjaga kampung masing-masing.

Turut hadir ialah Setiausaha kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gumpoyo; kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang; Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN); Ketua Anak Negeri (KAN), Ketua-ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta penduduk kampung.