Pendrive, Memory Card Tiruan Dirampas KPDNHEP Sabah Dalam Siri Serbuan | Sabah News

Pendrive, Memory Card Tiruan Dirampas KPDNHEP Sabah Dalam Siri Serbuan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah telah menyerbu empat buah premis perniagaan elektronik di sekitar daerah ini dan menyita 1,479 unit Pendrive dan Memory Card pelbagai kapasiti bagi jenama “SanDisk”, yang disyaki tiruan di dalam serbuan yang telah dijalankan pada Selasa.

Serbuan tersebut dijalankan oleh dua pasukan pegawai penguatkuasa yang terdiri daripada 10 orang anggota bersama-sama dengan lima orang wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama “SanDisk”.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, semua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM41,376.50 dan tindakan kes diambil di bawah Akta Cap Dagang 2019…

“Keempat-empat pemilik premis perniagaan terbabit adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dan kes ini akan disiasat mengikut seksyen 102(1),(b)&(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barangbarang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barangan.

“Kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran,” katanya.

Beliau mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” tegasnya.