MOHD AMAR TEMPELAK MULUT CELUPAR NUR JAZLAN | Sabah News

MOHD AMAR TEMPELAK MULUT CELUPAR NUR JAZLAN | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah…

KOTA BHARU – Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan bahawa PAS tidak berdepan krisis keyakinan diri dan bukan ‘parti penakut’.

Beliau menempelak dan menolak kenyataan ‘celupar’ Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, terhadap PAS, baru-baru ini.

Mohd Amar menafikan dakwaan bahawa PAS sedang menghadapi krisis keyakinan diri, sebaliknya menyifatkan kenyataan Nur Jazlan itu seolah-olah merujuk kepada UMNO sendiri.

“Baik, saya tanya dia (Nur Jazlan), bila UMNO berani guna logo sendiri (pada pilihan raya)? UMNO tidak pernah guna lambang UMNO dalam sejarah politik di Malaysia…

“Dulu, guna lambang Perikatan, sekarang guna Barisan Nasional (BN)… siapa yang takut? Kenyataan dia (Nur Jazlan) itu tidak betul sebab kita selama ini menggunakan lambang kita, menang kalah pun.

“Namun, UMNO tidak pernah lagi guna lambang UMNO. Kalau baca dalam sejarah, mana UMNO guna lambang sendiri untuk bertanding pada PRU? Tidak pernah. Tanya dia, siapa yang penakut? Dia beranikah?” katanya.

Sebelum ini, Nur Jazlan mendakwa PAS sedang mengalami krisis keyakinan diri dan tidak lagi yakin dengan kekuatan mereka kerana dikatakan sentiasa menurut Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam berpolitik.

Nur Jazlan dipetik mendakwa, perkara itu dapat dilihat apabila kepemimpinan PAS sebelum ini memberitahu akan menggunakan logo sendiri pada PRU15 sebelum menukar pendirian mereka.