Cacar Monyet: KKM Tingkatkan Pengawasan, Advokasi – Khairy | Sabah News

Cacar Monyet: KKM Tingkatkan Pengawasan, Advokasi – Khairy | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) Khairy Jamaluddin, berkata KKM telah mempertingkat pengawasan dan advokasi mengenai cacar monyet.

Jelas Khaiyr, langkah itu diambil susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kejadian kes cacar monyet di negara yang bukan endemik penyakit tersebut, sejak awal bulan Mei 2022.

Antara langkah yang akan diambil,ialah memastikan fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta menotifikasi kes disyaki dan disahkan cacar monyet dengan segera, bagi memastikan langkah kawalan dan pencegahan dapat diambil, termasuk mengenal pasti kontak rapat kes.

“KKM akan mewujudkan pengawasan sentinel di beberapa buah klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam / lesi kulit, serta mempertingkatkan kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet.

“Selain itu, KKM akan mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa dengan kerjasama agensi dan jabatan berkaitan, termasuk Malaysian Airlines Holdings Bhd,” kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, berikutan pengumuman Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) yang dibuat oleh WHO, KKM mengingatkan kepada semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa berkaitan penyakit itu serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

Sehingga 23 Julai 2022, Khairy berkata, sebanyak sembilan (9) kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan semua kes telah disahkan negatif.

“Sejak 1 Mei 2022 sehingga 23 Julai 2022, seramai 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada pengembara-pengembara ini.

“KKM menyeru individu yang mempunyai gejala cacar monyet untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut…

“Elakkan dari kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya lagi.

Khairy berkata, pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara (travellers’ card) dalam aplikasi MySejahtera.

Beliau berkata, pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan acar monyet akan menerima notifikasi pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan dan status kesihatan.

“Pengembara-pengembara yang tiba dari negara-negara terbabit, dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya lagi.