KPDNHEP Kudat Tahan Lelaki Disyaki Sorok Barang Kawalan | Sabah News

KPDNHEP Kudat Tahan Lelaki Disyaki Sorok Barang Kawalan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





KPDNHEP Kudat berserta PGA Kudat telah menumpaskan
kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak di sebuah stor tidak bernombor di
Kg. Barambangon Kudat – Foto Ihsan KPDNHEP Sabah…

KUDAT, SABAH – Pihak berkuasa berjaya menahan seorang lelaki yang menyorok barang kawalan dan kemudian menjualnya pada harga lebih tinggi di Kampung Barambangon, pada Khamis lalu.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, serbuan pada pukul 6.20 petang oleh pasukan penguatkuasa kementerian itu yang dibantu anggota Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) menemukan pelbagai jenis barang kawalan yang disorokkan dalam sebuah stor.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati stor berkenaan menyimpan sebanyak 402 kilogram minyak masak peket bersubsidi, 864 kilogram gula pasir dan 914 kilogram tepung gandum yang disyaki disorok bagi tujuan menjual barang kawalan tersebut pada harga lebih tinggi di pasaran sekitar Kudat.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM 6,991.40. Berdasarkan keterangan awal, premis yang disiasat telah menyorok dan menjual barang kawalan tersebut pada harga yang lebih tinggi sehingga RM80 bagi sekotak minyak masak peket dan di pasaran sekitar daerah Kudat serta secara online.

Antara barang kawalan yang disorok oleh suspek telah dirampas KPDNHEP Kudat – Foto Ihsan KPDNHEP Sabah…

“Turut ditahan seorang lelaki dipercayai pemilik barang kawalan tersebut yang telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit sah bagi menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Georgie, suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana menjual barang kawalan pada harga yang tidak munasabah dan terlalu tinggi,” katanya…