Op Mabuk : 62 Kenderaan Diperiksa, Tiga Ditahan Atas Kesalahan Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol | Sabah News

Op Mabuk : 62 Kenderaan Diperiksa, Tiga Ditahan Atas Kesalahan Memandu Di Bawah Pengaruh Alkohol | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

PENAMPANG, SABAH – Sebanyak 62 kenderaan telah diperiksa dan tiga individu telah ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi bersepadu Op Mabuk yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Jalan Kota Kinabalu – Penampang, pada malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim berkata, tiga individu tersebut ditahan di bawah Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang telah ditetapkan, sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

DSP Mohd Haris turut menyatakan ketika Op Mabuk dijalankan pihak polis turut mengeluarkan 54 saman di atas pelbagai kesalahan antaranya, tiada lesen memandu, mengubahsuai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh.

“Operasi kali ini melibatkan kekuatan seramai seorang pegawai kanan polis yang diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman dengan dibantu oleh lapan anggota polis berjalan dengan lancar dan telah berakhir jam 3 pagi tadi.

“Seramai 53 individu telah diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” ulasnya.

Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang telah ditetapkan.