ISTERI KM: PROGRAM BACK TO NATURE TINGKATKAN PENDAPATAN | Sabah News

ISTERI KM: PROGRAM BACK TO NATURE TINGKATKAN PENDAPATAN | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) menunjukan kain yang dibuatnya sendiri menggunakan teknik Natural Dye dan eco printing sempena Pameran ‘Back To Nature’ peringkat negeri di Suria Sabah Shopping Mall di Kota Kinabalu, pada Jumaat…

KOTA KINABALU, SABAH – Program ‘Back To Nature’ mampu membantu golongan sasar sepertisuri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) mempelajari kemahiran baharu yang mampu membantu mereka menjana pendapatan, terutama selepas pandemik
COVID-19 ini.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, berkata menerusi program
ini, mereka akan dibekalkan dengan latihan kemahiran seni ‘Natural Dye’ dan ‘Eco
Printing’ serta latihan keusahawanan supaya dapat menghasilkan produk seterusnya
sebagai sumber pendapatan.

“Saya mengucapkan syabas kepada Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia atau PSJKM Sabah dan Sarawak, Thien Tsui Yan dan juga pasukannya yang memberi peluang kepada wanita di Sabah terutama golongan sasar seperti suri rumah, ibu tunggal, dan OKU untuk mempelajari kemahiran baharu yang mampu membantu mereka menjana pendapatan.

“Program ‘Back To Nature’ menyasarkan untuk melahirkan seramai 500 usahawan yang akan dberikan latihan kemahiran seni Natural Dye dan Eco Printing serta latihan keusahawanan supaya mereka dapat menghasilkan produk dan memasarkannya sendiri kepada pelanggan.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) bersama ahli GRS melawat pameran sempena Program ‘Back To Nature’ peringkat negeri…

“Program ini juga akan mendekatkan diri kita dengan alam sekitar dan merupakan satu idea yang baik bagi mendidik masyarakat untuk bersahabat dengan alam, memastikan keindahannya masih dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Program Back To Nature di Suria Sabah Shopping Mall di sini, pada Jumaat.

Program anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) itu bertemakan
`Vaksinasi Cegah COVID-19, Kemahiran Cegah Kemunduran’.

Dalam pada itu, Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri
Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata selain 500 golongan
sasar yang menyertai program Back To Nature, seramai 1,043 lagi yang telah memohon
untuk mengikuti kursus anjuran PSJKM dan kini berada dalam senarai menunggu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata negara yang kini berada dalam fasa
endemik, bukanlah alasan untuk rakyat tidak produktif.

Katanya, walaupun rakyat harus terus berwaspada dan mengikut prosedur operasi
standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan untuk
mencegah penularan COVID-19, namun ia bukan penghadang untuk rakyat terus
menimba ilmu demi mencari rezeki dan meningkatkan punca mata pencarian.

“Penjualan produk Natural Dye dan Eco Printing, produk yang mesra alam ini juga sudah mula dipraktikkan secara meluas dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa,” katanya.

Juliah berkata, PSJKM sendiri mempunyai platform perniagaan dalam talian iaitu The
Tunku Azizah Handmade Market Online yang kini mempunyai seramai 213 orang
perintis yang berjaya menjana pendapatan melaluinya.