APPM Gagalkan Cubaan Seludup Keluar Minyak Masak Di Semporna | Sabah News

APPM Gagalkan Cubaan Seludup Keluar Minyak Masak Di Semporna | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna menggagalkan cubaan sebuah bot laju menyeludup minyak masak di perairan Semporna sekitar jam 2.10 pagi Khamis semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, rampasan dibuat berikutan pengesanan ke atas sebuah bot berwarna biru tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi sekitar 0.7 Batu Nautika Barat Daya Kampung Labuan Haji.

“Sebaik menyedari kehadiran bot penguatkuasa, suspek telah bertindak mengemudi bot ke kawasan lebih cetek dan terjun melarikan diri ke daratan berhampiran.

“Pemeriksaan ke atas bot menemui 646 paket minyak masak bernilai lebih kurang RM1615…

“Keseluruhan rampasan meliputi sebuah bot, sebuah enjin sangkut, dan kesemua minyak masak yang cuba diseludup dianggarkan bernilai lebih kurang RM11,615,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Norrimi berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak masak tanpa cukai.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini…

“Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI ke negeri Sabah melalui jalan laut,” tambah beliau.

Dalam pada itu, katanya Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999.