TM Percepat Pemasangan Fiber Optik Di Sabah, Sasar Liputan 58% Di Seluruh Negeri Menjelang 2025 | Sabah News

TM Percepat Pemasangan Fiber Optik Di Sabah, Sasar Liputan 58% Di Seluruh Negeri Menjelang 2025 | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Dalam usaha menyokong aspirasi Sabah Maju Jaya, TM akan mempercepatkan kadar pemasangan fiber optik di Sabah. Dengan matlamat sekurang-kurangnya 145,000 premis disambungkan dalam tempoh tiga (3) tahun bermula pada tahun 2022-2025, TM menyasarkan untuk mencapai 58% liputan fiber di negeri ini..

Sasaran ini telah dikongsi barisan kepimpinan TM ketika majlis kunjungan hormat bersama Ketua Menteri Negeri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha TM untuk mengukuhkan hubungan bersama pelbagai pihak berkepentingan di negeri ini…

Delegasi yang diketuai oleh Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM telah meluangkan masa selama sehari bagi bertemu dengan para pemimpin kerajaan negeri, komuniti perniagaan dan juga Warga TM.

Dalam kunjungan bersama YAB Ketua Menteri, barisan delegasi turut berkongsi maklumat terkini mengenai aktiviti TM di negeri ini, serta usahanya untuk membawa akses kepada kesalinghubungan dan penyelesaian digital kepada rakyat, komuniti perniagaan, industri dan  sektor awam.

“TM telah melabur lebih daripada RM1.1 bilion untuk CAPEX di Sabah sejak 2012 bagi meningkatkan kesalinghubungan dan  gentian di negeri ini. Dengan sejumlah 32,000km kabel gentian optik  di seluruh negeri, disamping 59 tapak sambungan gentian optik yang telah disediakan di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai Point Of Presence (POP), TM telah menghubungkan hampir 282,000 premis di Sabah.

“Secara keseluruhan, TM telah menggunakan lebih 600,000km kabel gentian optik di seluruh  negara, dan usaha ini akan terus diperhebatkan, selaras dengan pelaksanaan JENDELA.

Turut dikongsi adalah inisiatif TM yang lain bagi meningkatkan kualiti pengalaman layaran internet bagi para pengguna di Sabah. Bagi membolehkan muat turun kandungan dengan lebih pantas dan mengurangkan kadar latensi, TM telah memasang nod pertukaran internet TM (TMiX) di Kota Kinabalu dan Penampang. TMiX ini akan turut dipasang di Inanam, Kinarut, Menggatal dan Putatan, dan dijangka siap pada Disember 2022.

TM juga akan membolehkan lokalisasi kandungan, di mana pemain OTT boleh menempatkan server pelayan kandungan di Penampang, menempatkan nod Rangkaian Penghantaran Kandungan (CDN) dan melaksanakan Gerbang Antarabangsa (IGW) di daerah ini menjelang suku pertama  (Q1) 2023.

“Sebagai sebuah syarikat berteraskan insan, TM bersedia untuk memainkan peranan bagi merealisasi agenda digital Sabah dalam pelbagai cara, termasuklah membangunkan modal insan yang berdaya saing menerusi biasiswa, kerjasama pendidikan bersama Universiti Multimedia serta peluang-peluang pekerjaan,” kata Imri.

TM juga bersedia untuk berkerjasama dan menawarkan penyelesaian digital yang komprehensif kepada sektor awam dan perniagaan di Sabah dengan Kerajaan Digital, Pasaran Digital, unifi Buisness Club serta tawaran perhidmatan Awan, Pusat Data dan Keselamatan Siber yang komprehensif, salain rangkaian penyelesaian Bandar Pintar.