Pembukaan Empat Pusat Produk IKS Sabah Bakal Tingkatkan Pembangunan Keusahawanan Di Sabah | Sabah News

Pembukaan Empat Pusat Produk IKS Sabah Bakal Tingkatkan Pembangunan Keusahawanan Di Sabah | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim…

KOTA KINABALU, SABAH – Dalam mempertingkatkan pembangunan keusahawanan di khususnya di kawasan daerah-daerah yang kurang membangun di negeri ini, Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) akan membuka empat lagi Pusat Produk IKS Sabah.

Menterinya MID Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata pembukaan empat lagi Pusat IKS itu adalah selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN2030) yang membawa citra untuk menyediakan kerangka atau ekosistem yang holistik untuk pembangunan keusahawanan di Malaysia.

Katanya, 17 program sudah disusun sepanjang tahun bagi menjayakan Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah dalam memperkenalkan produk buatan Usahawan IKS Sabah kepada masyarakat dan menggalakkan pengguna untuk menyokong serta membeli barangan buatan negeri Sabah sendiri.

“Pembukaan Empat Pusat Produk IKS Sabah di daerah Keningau, Tuaran, Tawau dan Kota Marudu nanti akan mewujudkan ruang mengumpul, mempamer, mempromosi dan menjual produk keluaran tempatan dari seluruh daerah termasuk produk Usahawan Informal. 

“Melalui program ini, usahawan baharu boleh menghantar dan memasarkan produk mereka ke Pusat Produk IKS dan pihak DIDR akan mengenalpasti produk yang berpotensi untuk dikomersialkan seterusnya mempertingkat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah,” katanya semasa menjawab soalan Arunarnsin Talib (Gum-Gum) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata demikian apabila Arunarnsin bertanya adakah kerajaan bercadang memberikan DKN2030 dalam memenuhi Aspirasi Keluarga Malaysia dan RMK-12 dalam usaha melahirkan usahawan serta mempertingkatkan lagi keseimbangan ekonomi khususnya di daerah kurang membangun.

Sememntara itu beliau berkata dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dalam kalangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), kementeriannya menyediakan beberapa bantuan kepada usahawan seperti Skim Pembiayaan Usahawan Bumiputera Sabah (SPUBS) melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan Bantuan IKS (BAIKS) melalui DIDR.

“Usahawan baharu yang mempunyai produk dan potensi juga akan diberi bantuan dari segi rekabentuk pembungkusan baharu termasuk logo, kandungan nutrisi, kod bar serta mencetak pembungkusan agar membolehkan produk dipasarkan ke pasaraya tempatan. 

“Program bantuan keusahawanan ini adalah sebagai pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan sekaligus mewujudkan ekosistem yang holistik untuk pembangunan keusahawanan di negeri ini,” katanya.

Tambahnya pemesatan ekonomi keusahawanan diyakini mampu melonjakkan pengeluaran produk dalam kalangan masyarakat setempat sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap produk import.