MOSAR Selamatkan Pendaki Cedera Di Kepala Ketika Menuruni Gunung Kinabalu | Sabah News

MOSAR Selamatkan Pendaki Cedera Di Kepala Ketika Menuruni Gunung Kinabalu | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

RANAU, SABAH – Seorang lelaki tempatan yang mengalami kecederaan di kepala ketika menuruni Gunung Kinabalu, Kundasang, dekat sini, kelmarin berjaya dibawa turun oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat (MOSAR) Gunung.

Dalam insiden itu, pendaki berkenaan tidak dapat meneruskan sendiri untuk turun ke bawah selepas alami komplikasi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Ridwan Mohd. Taib berkata, perubahan cuaca yang ketara di daerah itu telah mengakibatkan beberapa pendaki Gunung Kinabalu mengalami komplikasi semasa mereka menuruni puncak gunung sejak kebelakangan ini.

“Kita berada di pertengahan tahun dan cuaca semakin sukar untuk diramalkan. Ada kalanya pada waktu pagi kering dan panas dan tiba-tiba hujan lebat sepanjang petang,” katanya.

Ridwan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 8 pagi kelmarin (20 Julai) itu berhampiran Kilometer 7.8 laluan pendakian utama Gunung Kinabalu, ketika mangsa dalam perjalanan turun dari puncak.

Dalam pada itu, beliau turut berkata bahawa mangsa sedang berjalan menuruni gunung bersama malim gunung dan terlepas memijak permukaan berbatu sebelum unit MOSAR diketuai Pegawai Operasi, PBKII KUP Kamidin Rasim dimaklumkan.

“Dalam kejadian itu, pendaki tersebut terjatuh dan cedera di kepala di KM 7.8 Gunung Kinabalu ketika menuruni gunung itu. Pasukan MOSAR dibantu oleh dua kakitangan Taman Taman Sabah dan lima orang malim gunung…

“Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan MOSAR. Mangsa kemudian dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung Robinson dan dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS. Operasi ditamatkan pada 1.15 tengah hari (20 Julai),” katanya.