LCC Akan Terus Bantu Hidupkan Semula Ekonomi Labuan | Sabah News

LCC Akan Terus Bantu Hidupkan Semula Ekonomi Labuan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

LABUAN: Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC), Daniel Doughty berkata, LCC optimis akan dapat membantu menghidupkan semula ekonomi Labuan melalui Perdagagan Transhipment.

Katanya, LCC yang baharu sahaja mendapat kelulusan untuk mengendali Perdagagan Trashipment antara Labuan dengan Selatan Filipina dilihat mampu membantu mengaktifkan semula kesuraman ekonomi Labuan.

“Sejak pengumuman kebangkitan LCC awal bulan lalu, kami telah berusaha ke arah pengaktifan perdagangan Transhipment selepas mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan…

“Kelulusan itu telah diberikan kepada LCC awal minggu lalu dan kami sedia membantu dan memudahkan kepada pemain industri lain yang berminat untuk menyertai kami termasuk rakan-rakan dewan perniagaan yang lain” katanya kepada media di sini.

Terdahulu sebelum itu, beliau bersama ahli-ahli LCC telah melakukan Kunjungan Hormat ke atas Pengerusi Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias di pejabatnya Tingkat 10, Menara Perbadanan Labuan, pada Rabu.

Dalam pertemuan hampir satu jam itu, Daniel turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan juga Perbadanan Labuan kerana telah membantu dan memberikan sokongan kepada LCC untuk bergerak aktif dalam memulihkan ekonomi Labuan yang selama ini suram.

Sementara itu, Bashir berterima kasih kepada Dewan Perniagaan Labuan yang telah memberikan penjelasan mengenai hala tuju dewan berkenaan terutamanya dalam mengendalikan Perdagagan Transhipment di Labuan.

“Dalam hal ini Perbadanan Labuan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan akan memberi perhatian ke atas inisiatif LCC membantu menghidupkan semula aktiviti ekonomi Labuan” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan Labuan (LCC), Tan Soon Kiat, Setiausaha, Raymond Phang dan empat ahli exco yang terdiri Pearl Koh, Tan Boon Chang, Wazlee W. Ismail dan Eng Lean Chye.