Kerjasama, Penerimaan Komuniti Kriteria Penting Dalam Penilaian Geopark Global UNESCO | Sabah News

Kerjasama, Penerimaan Komuniti Kriteria Penting Dalam Penilaian Geopark Global UNESCO | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Gambar Hiasan…

KOTA BELUD, SABAH – Ahli Majlis Kebudayaan Negara Paul Porodong berkata, kerjasama komuniti dan penerimaan inisiatif Geopark Kinabalu di tiga daerah di Sabah adalah antara kriteria penting yang akan dinilai sebelum menerima status sebagai Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Katanya tiga dearah tersebut meliputi daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu.

Jelas beliau, antara aspek yang dilihat dalam kawasan geopark iaitu bagaimana sesebuah komuniti mengetengahkan budaya mereka yang akan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Beliau yang juga Penasihat Budaya Geopark Kinabalu berkata dalam geopark, selain penilaian terhadap fizikal iaitu batuan, flora dan fauna, aspek budaya juga diambil kira.

“Biobudaya itu perlu dilihat hidup dan aktif serta ada bukti yang menunjukkan komponen budaya itu berhubung dengan biofizikal dan biodiversiti…

“Di sini (Kota Belud) kita dapat lihat masyarakat Bajau dengan kedudukan biofizikal iaitu sawah padi dan pemandangan Gunung Kinabalu dijadikan sebagai produk pelancongan,” katanya.

Paul berkata gabungan ketiga-tiga elemen yang saling berhubung kait itu, akan dilihat oleh para penilai secara dekat selain sumbangan kepada kesejahteraan masyarakat.

Mengambil contoh komuniti yang tinggal di kawasan kaki Gunung Kinabalu seperti di Kampung Kiau, Paul berkata komuniti kampung itu menyesuaikan kehidupan dalam keadaan tanah berbukit dengan aktiviti pertanian.

Dalam pada itu, Paul berkata kepadatan biodiversiti dalam kawasan geopark juga tinggi terutamanya di kawasan utara dan mempunyai satu etnik bagi setiap 40 kilometer persegi berbanding di luar kawasan geopark.

“Kita cuba menjelaskan kepada penilai (daripada UNESCO) mengenai masyarakat di sini, iaitu hubungan aktiviti dan cara hidup masyarakat serta hubungannya dengan persekitaran fizikal dan kepelbagaian biologi khususnya yang berkaitan dengan landskap berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan mengenai kepercayaan masyarakat setempat bahawa Gunung Kinabalu itu tempat pulangnya roh nenek moyang.

Menurutnya Gunung Kinabalu sejak sekian lama dikenali dengan nama ‘Aki Nabalu’ oleh penduduk setempat, iaitu dalam bahasa Kadazandusun perkataan ‘Aki’ bermaksud nenek moyang dan ‘Nabalu’ bermaksud tempat atau gunung, yang keseluruhan maksudnya gunung nenek moyang atau tempat pulangnya roh nenek moyang.

Jelajah penilaian oleh penilai daripada UNESCO itu yang berlangsung selama empat hari, turut melawat beberapa kawasan yang memperlihatkan budaya setempat antaranya Paranauan Inn D’ Sangkir di Kota Belud, Walai Tobilung dan Sungai Baliajong di Kota Marudu.