Op Samseng Jalanan : Pamer Aksi Bahaya, Seorang Remaja Lelaki Berjaya Diberkas | Sabah News

Op Samseng Jalanan : Pamer Aksi Bahaya, Seorang Remaja Lelaki Berjaya Diberkas | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

PUTATAN, SABAH – Keseronokan seorang remaja lelaki berumur 18 tahun yang menunggang motosikal sambil melakukan aksi bahaya di atas jalan raya tidak bertahan lama apabila berjaya diberkas oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Kota Kinabalu – Putatan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim berkata operasi tersebut bermula pada 16 Julai 2022 jam 11.00 malam dan berkakhir pada 17 Julai 2022 5.00 pagi, lalu.

Beliau berkata, pasukan polis yang membuat rondaan di sekitar Pusat Membeli Belah One Place Mall telah mengesan dua remaja lelaki sedang melakukan aksi ‘stuntman’ ketika menunggang motosikal di sekitar kawasan tersebut dan bertindak mengekori suspek.

“Ketika intipan dibuat, kedua-dua suspek tersebut tidak menyedari kehadiran pihak polis dan leka membuat aksi lagak ngeri ketika menunggang motosikal di sekitar kawasan Kg Ulu, Putatan,” ulas beliau.

Seorang dari remaja berkenaan berjaya diberkas polis di lampu isyarat berdekatan sebuah restoran manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.

“Lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya…

“Antara aksi berkenaan termasuk melakukan wheelie, superman dan melanggar lampu isyarat serta pelbagai aksi lain yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Ujarnya, polis telah menyita motosikal suspek dan sebanyak lima saman telah dikeluarkan atas kesalahan mengubahsuai ekzos motosikal, halangan lalulintas, no plat tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin pandang belakang dan aksesori motosikal tidak sempurna.

Remaja terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih dari RM15,000. Jika sabitan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih dari RM50,000.

DSP Mohd Haris turut menambah, ketika Op Samseng Jalanan ini diadakan, pihak polis juga telah memeriksa 29 buah kenderaan dan mengeluarkan 15 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas.

“Polis amat mengambil serius terhadap samseng jalanan yang semakin berleluasa di daerah ini, tindakan tegas bakal diambil kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan ini,” tegas beliau lagi.

Masyarakat terutamanya remaja dinasihatkan untuk tidak terlibat dengan sebarang aktiviti samseng jalanan, termasuk peranan ibu bapa dalam memantau kegiatan anak-anak supaya tidak terlibat dengan gejala negatif ini.