Program Semarak Gemilang Perkukuh Semangat Keluarga Malaysia | Sabah News

Program Semarak Gemilang Perkukuh Semangat Keluarga Malaysia | Sabah News

Kongsikan Berita Ini





TAWAU, SABAH – Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Zamri Pehakan berkata, program Semarak Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Sabah perkukuh semangat Keluarga Malaysia.

Katanya, program sebegini dapat meningkat dan mengukuhkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan pelajar dan warga pendidik.

“Keluarga Malaysia merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran manakala fasa “Teguh Bersama” mendukung maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta mampan.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan semangat cintakan negara dan mengukuhkan semangat Keluarga Malaysia dalam kalangan masyarakat juga agensi-agensi kerajaan, syarikat swasta dan orang awam untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini dengan konsep “Keluarga Malaysia Teguh Bersama.  

“Selain itu,  pelaksanaan program secara menyeluruh ini mampu memperkukuh perasaan cintakan negara dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar sekolah selain menggelorakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia melalui kempen kibar Jalur Gemilang sepanjang sambutan berlangsung.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Daerah Tawau , Vaea Sarima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat (PKPM) JaPen Azman Sipan yang mewakili Pengarah Penerangan Sabah, Pengetua SMK Tawau Abdul Majis Saprin dan Yang DiPertua PIBG SMK Tawau Amir Kanje.