Kerajaan Tidak Berkompromi Dalam Mempertahankan Kedaulatan Negara – PM | Sabah News

Kerajaan Tidak Berkompromi Dalam Mempertahankan Kedaulatan Negara – PM | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Malaysia bertegas tidak akan berkompromi atau berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

Jelas beliau, itu juga bermakna kesemua aset milik kerajaan atau mana-mana agensi berkaitan kerajaan (GLC) akan dipertahankan dan dilindungi dari segi perundangan.

Pada masa sama, kata beliau, sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk melihat tuntutan Kumpulan Sulu secara menyeluruh selepas mereka sebelum ini menuntut sebanyak AS$14.92 (RM62.59 bilion) daripada Malaysia dan dilaporkan merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

“Bukan setakat aset Petronas sahaja, malah aset-aset lain kita di luar negara…

Banyak lagi GLC mempunyai aset di luar negara dan kita tengok secara menyeluruh.

“Itu tanggungjawab yang kita berikan kepada pasukan khas ini mengenai (tuntutan) kesultanan Sulu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022, di sini hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pihak Petronas akan memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada ahli-ahli Parlimen dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Wan Junaidi mengumumkan sebuah Pasukan Khas ditubuhkan bagi menangani isu tuntutan Kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia yang diketuai sendiri beliau dan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya.