Kerajaan Negeri Sabah Hentikan Pas Kerja Syarikat Minyak, Gas Gagal Bayar CJN | Sabah News

Kerajaan Negeri Sabah Hentikan Pas Kerja Syarikat Minyak, Gas Gagal Bayar CJN | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

Masidi…

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata Kerajaan negeri akan menghentikan semua pas kerja untuk syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini berkuat kuasa pada 1 Oktober 2022 sekiranya pihak syarikat terbabit masih gagal untuk membayar tunggakan Cukai Jualan Negeri (CJN) yang dituntut kerajaan negeri.

Katanya, surat makluman berkenaan tindakan terbabit kepada syarikat itu dikeluarkan oleh kerajaan negeri pada 8 Julai 2022.

“Pada 8 Jun lepas, kerajaan negeri mengeluarkan surat tuntutan CJN kepada syarikat terbabit diikuti pada 14 Jun 2022, kerajaan negeri mengeluarkan surat penolakan kepada rayuan yang dikemukakan oleh pihak syarikat terbabit.

“Pengarah CJN turut mengeluarkan notis taksiran kepada syarikat berkenaan pada 21 Jun 2022 bagi menuntut pembayaran cukai tertunggak serta penalti yang berjumlah RM97.31 juta melibatkan cukai sebanyak RM65.65 juta dan penalti RM31.66 juta,” katanya lapor Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai tindakan yang diambil kerajaan negeri terhadap dua syarikat sektor minyak dan gas yang beroperasi di Sabah akibat gagal membayar CJN.

Masidi berkata, pihak syarikat terbabit perlu menjelaskan secara penuh tunggakan CJN dan penalti dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat dikeluarkan sebelum tindakan sivil diambil kerajaan negeri jika tunggakan gagal dibayar.

Menurutnya, pada 22 Jun 2022, pihak PETRONAS dan syarikat berkenaan mengadakan perbincangan berkenaan tunggakan cukai dan penalti yang dikenakan oleh kerajaan negeri.

“Keputusan yang dicapai adalah pihak syarikat terbabit meminta tempoh penangguhan selama seminggu untuk berunding dengan PETRONAS dan akan memaklumkan keputusan mereka selepas tempoh terbabit…

“Pada 1 Julai 2022, kerajaan negeri mengadakan mesyuarat dengan PETRONAS untuk membincangkan tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap syarikat berkenaan susulan kepada persetujuan yang dicapai melalui mesyuarat pada 22 Jun 2022,” jelasnya.