70 Pensyarah Baharu UMS Dirai Bersama Naib Canselor | Sabah News

70 Pensyarah Baharu UMS Dirai Bersama Naib Canselor | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 70 pensyarah baharu dirai dalam Sesi Ramah Mesra bersama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Galeri Azman Hashim di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, Naib Canselor, Datuk Taufiq Yap Yun Hin berkongsi pengalaman, tips dan motivasi kepada semua pensyarah baharu supaya dapat berkhidmat dengan cemerlang.

Katanya, tugas seorang pegawai akademik di universiti boleh diringkaskan kepada 9P iaitu pengajaran, penyeliaan, penyelidikan dan inovasi, penerbitan, serta terlibat dalam persidangan atau pembentangan.

“Selain itu, pegawai akademik juga turut terlibat dalam perundingan, pentadbiran akademik, profesionalisme atau perkhidmatan kepada masyarakat dan keterlibatan pelajar…

“Keterlibatan ahli akademik sama ada di peringkat nasional mahupun global juga sangat penting untuk kerjaya seorang pensyarah,” katanya.

Menurutnya, ahli akademik juga perlu menghasilkan penyelidikan atau penerbitan dalam jurnal yang berimpak tinggi.

“Ia akan menyumbang kepada peningkatan petikan (citation) terhadap kajian pensyarah mengikut bidang masing-masing.

“Semua ahli akademik juga perlu membuat rangkaian kerjasama dengan saintis atau tenaga akademik dari serata dunia,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Taufiq turut memaklumkan bahawa seseorang ahli akademik biasanya berpeluang dilantik ke jawatan pentadbiran tertentu.

“Saya ingin berpesan, sekiranya pensyarah dilantik ke mana-mana jawatan pentadbiran pada masa akan datang, ingatlah bahawa tugas hakiki perlu sentiasa menjadi fokus utama,” katanya.