UMS Lancar Jualan Nombor Pendaftaran Kenderaan Khas | Sabah News

UMS Lancar Jualan Nombor Pendaftaran Kenderaan Khas | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

1. Taufiq ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penjualan Nombor Pendaftaran Kenderaan UMS dan Pelancaran Sistem Bayaran Yuran Penerbitan UMS…

KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan menggunakan prefix UMS 1 hingga 9999.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata penggunaan prefix UMS sebagai nombor pendaftaran kenderaan itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memperkasakan aktiviti penjanaan pendapatan universiti.

Menurutnya, penjualan tersebut juga secara langsung dapat menambah peruntukan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi UMS.

“Nombor prefix UMS 1 sehinggalah UMS 9999 dengan harga tawaran ‘mampu milik’ dan ‘pasti milik’, sudah semestinya akan menarik minat orang ramai untuk mendapatkannya…

Nombor pendaftaran kenderaan UMS yang telah dilancarkan…

“Ia boleh dijadikan koleksi kebanggaan dan pengenalan/identiti, khususnya dalam kalangan warga UMS dan para alumni,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penjualan Nombor Pendaftaran Kenderaan UMS dan Pelancaran Sistem Bayaran Yuran Penerbitan UMS, baru-baru ini.

Katanya, pengurusan UMS sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan, keterlihatan serta sumbangan UMS kepada semua pemegang taruhnya serta sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kedudukan UMS di persada dunia.

“Penerbitan yang berkualiti serta berimpak tinggi bukan sahaja akan menjadi rujukan kepada penyelidik serta masyarakat seluruh dunia, malahan menjadi satu kriteria penting dalam pelbagai jenis penarafan dunia dan kebangsaan seperti Times Higher Education (THE), QS Ranking, MyRA, SETARA dan beberapa yang lain.

“Bagi melonjakkan lagi usaha dalam mempertingkatkan bilangan penerbitan berimpak, UMS telah memperkenalkan sistem pembiayaan yuran penerbitannya sejak tahun 2020, walaupun dibuat secara manual ketika itu,” ujar beliau.

Pada 2021 UMS berjaya melakar sejarah apabila buat pertama kalinya universiti itu mencapai bilangan penerbitan berindeks Scopus sebanyak 1,178 dengan memecahkan rekod jumlah penerbitan yang pernah diperolehi sejak penubuhannya.

Tambah Taufiq, UMS baru-baru ini mendapat pujian dalam audit MyRA atas penambahan bilangan sitasi dalam penerbitan yang amat memberangsangkan.

“Insya-Allah, kita harapkan dengan peningkatan positif sedemikian akan meletakkan UMS sebagai sebuah universiti bertaraf MyRA lima bintang untuk tahun 2021,” katanya.