Peruntukan RM3 Juta Baiki Cerun Runtuh Di Balai Polis Tongod Diluluskan | Sabah News

Peruntukan RM3 Juta Baiki Cerun Runtuh Di Balai Polis Tongod Diluluskan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

TONGOD, SABAH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peruntukan RM3 juta untuk membaiki cerun runtuh di Balai Polis Tongod diluluskan.

Jelas beliau, permohonan yang dikemukakan melalui pihaknya itu telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan komited untuk mempercepatkan penyaluran peruntukan berkenaan.

“Kita telah dimaklumkan oleh EPU bahawa kelulusan telah diperolehi sebanyak RM3 juta untuk membaiki cerun runtuh.

“Ini akan kita percepatkan supaya rumah-rumah yang dikosongkan dapat diisi semula,” katanya kelmarin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah menyambut baik komitmen yang diumum Hamzah dan berharap masalah terbabit dapat diselesaikan segera.

“Harapan kita sebagai masyarakat supaya peruntukan itu dapat diturunkan dengan cepat kerana kita risau cuaca sekarang kerap hujan akan menyebabkan hakisan yang lebih teruk dan ini boleh mengancam keselamatan warga Balai Polis Tongod.

“Kita juga telah memberi pandangan kepada YB Menteri agar peruntukan disalurkan terus kepada JKR Sabah supaya mudah untuk kita memantau dan membuat susulan,” ujar beliau.

Turut lega, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden Dzulbaharin Ismail merakam ucapan terima kasih dan berharap  kerja-kerja pembaikan cerun dapat dijalankan segera.

Setakat ini, katanya, lapan keluarga yang terlibat telah berpindah masuk semula ke rumah masing-masing selepas mendapat nasihat daripada JKR yang mengesahkan lokasi tersebut masih selamat.

Kejadian cerun runtuh pada 13 Februari lalu telah menjejaskan lapan keluarga dan operasi di balai berkenaan.