Pembinaan Projek ICQS Di Bantul Sabah Dijangka Bermula Tahun Ini | Sabah News

Pembinaan Projek ICQS Di Bantul Sabah Dijangka Bermula Tahun Ini | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

PAGALUNGAN, SABAH – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan bahawa pelaksanaan Projek Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bantul dijangka bermula tahun ini.

Katanya, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan sejurus selepas urusan status tanah dengan Kerajaan Negeri selesai dan kompleks tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 penduduk di kawasan terbabit.

“Saya ingin memastikan projek yang telah kita umumkan iaitu pembinaan ICQS di kawasan Bantul akan bermula tidak lama lagi…

“Ini kerana kita tidak mahu ada pihak dari sebelah sana masuk ke negara ini tanpa menggunakan dokumen yang sah atau masuk sebagai pendatang tanpa izin (PATI).

“Kita sudah pun mempunyai masalah besar berkaitan PATI di Sabah ini, jadi kita tidak mahu bila adanya pintu-pintu masuk ini amat mudah untuk mereka keluar masuk dan menyebabkan penambahan jumlah PATI.

“Oleh itu, kita memerlukan sebuah kompleks yang membolehkan sesiapa sahaja keluar masuk didaftarkan kerana pendataan amat mustahak sekali,” jelas beliau.

Menurut Hamzah, selain mengeluarkan pasport antabangsa, pembinaan kompleks itu juga dapat memudahkan urusan pendaftaran serta laporan berkaitan jenayah.

“ICQS ini akan memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan ini supaya dia tidak perlu pergi jauh ke Keningau untuk urusan seperti membuat laporan kelahiran, kematian ataupun laporan jenayah.

“Kita boleh menggunakan fasiliti yang ada apabila balai Polis yang dipertingkatkan kelak boleh menerima laporan kelahiran dan kematian sebagai wakil kepada Jabatan Pendaftaran Negara,”  katanya semalam.

Tambah beliau, pihaknya komited mempercepatkan pembinaan ICQS untuk menyeimbangi pembangunan keselamatan sempadan dengan negara jiran iaitu Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Labang, Indonesia.

Tapak ICQS Bantul melibatkan keluasan 65 ekar dan terletak kira-kira 25 km dari lokasi Pondok Polis Pagalungan sekarang atau perjalanan lebih sejam jika  menggunakan pengangkutan sungai.