Remaja Warga UK Cedera Ketika Mendaki Bukit Di Kiulu | Sabah News

Remaja Warga UK Cedera Ketika Mendaki Bukit Di Kiulu | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

TUARAN, SABAH – Seorang remaja wanita warga United Kingdom (UK) dilaporkan cedera setelah tergelincir dan terjatuh ketika mendaki bukit di Kg Borombon Kiulu kelmarin.

Susulan daripada insiden tersebut, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, PKPgB Mohd. Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai perkara itu melalui talian MERS999 pada jam 1.12 petang.

Katanya, pihaknya telah menghantar sepasukan penyelamat seramai lapan anggota diketuai oleh Pegawai Operasi, PBK II Mahmud Jumah beserta dengan sebuah jentera FRT dan sebuah van EMRS.

“Setibanya di lokasi yang terletak sejauh 30 kilometer dari BBP Tuaran itu, kita mendapati terdapat seorang mangsa perempuan berusia 18 tahun yang telah tergelincir dan terjatuh semasa menjalankan aktiviti mendaki bukit.

“Pasukan bomba bertindak mengangkat dan membawa mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian belakang, turun menggunakan pengusung sejauh 400 meter,” katanya.

Jelas beliau, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang seterusnya menghantarnya ke Hospital Tuaran menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 2.45 petang.