Program Drill Kecemasan, Tingkatkan Prestasi, Kesiapsiagaan Pasukan Keselamatan Awam | Sabah News

Program Drill Kecemasan, Tingkatkan Prestasi, Kesiapsiagaan Pasukan Keselamatan Awam | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

LAHAD DATU, SABAH – Pegawai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata satu program drill kecemasan telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Lahad Datu, bagi memantapkan lagi prestasi serta tindak balas pasukan keselamatan awam dalam mengahadapi situasi cemas baru-baru ini.

Jelas beliau, program yang berlangsung selama satu hari itu bertujuan melancarkan lagi operasi pihak-pihak yang terlibat dalam menyelamat nyawa orang awam.

Katanya, latihan itu melibatkan pihak hospital, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Lahad Datu dan Jabatan Penerangan (JaPen) Lahad Datu.

Pasukan perubatan Hospital dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia memeriksa dan memberi rawatan awal pada mangsa-mangsa kebakaran.

Samsoa berkata senario drill tersebut melibatkan tindakan untuk menyelamatkan empat orang awam yang menjadi mangsa dalam insiden kebakaran bangunan terminal Lapangan Terbang Lahad Datu.

Katanya latihan kebakaran dan pengungsian bangunan terminal tersebut dianjurkan oleh pihak Malaysia Airports Berhad, menerusi Lapangan Terbang Lahad Datu, dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah Lahad Datu.

“Latihan ini diadakan untuk memantapkan gerak kerja bersama agensi yang terlibat sekiranya berlaku insiden kebakaran yang sebenar…

“Kita sedia maklum bahawa tindakan bersepadu antara agensi bukan mudah digerakkan.

“Oleh itu, pihak kita mengambil serius terhadap latihan seumpama ini kerana ia juga dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan semua agensi penyelamat ke tahap yang lebih optimum.

“Latihan seumpama ini amat penting dalam memastikan kelancaran proses pengungsian supaya ia dijalankan dengan lebih teratur dan lancar kerana kelewatan boleh mengakibatkan nyawa terkorban,” katanya.

Menurut Samsoa lagi, melalui program drill kecemasan seperti ini, agensi yang terlibat juga akan lebih bersiap sedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi sebarang kecemasan.

“Bersiap sedia dapat mengurangkan ketakutan, kebimbangan dan kerugian yang menyusul selepas suatu bencana. Semua aspek perlu diambil berat, terutama sekali dari aspek kemanusiaan.

“Komuniti, keluarga dan individu juga harus tahu apa yang perlu dibuat sekiranya berlaku kebakaran, selain tempat untuk mencari perlindungan semasa ribut yang kuat,” tambah beliau.

Samsoa berkata selepas program itu, semua pihak bersetuju bahawa komunikasi yang berkesan merupakan komponen paling penting dalam sebarang tindak balas kecemasan.

“Komunikasi yang diperkemas dan cekap boleh membantu mengurangkan kehilangan nyawa dan memastikan responden selamat, manakala komunikasi yang bercelaru dan mengelirukan boleh mengakibatkan keadaan bertambah parah,” katanya.

Atas sebab itu, JaPen turut terlibat dalam drill tersebut berdasarkan peranan pentingnya membantu dalam membuat hebahan awal untuk memaklumkan orang ramai agar tidak panik semasa latihan dilaksanakan, tambahnya.

Matlamat kesiapsiagaan bencana adalah untuk mengurangkan kesan bencana ke atas populasi yang terdedah, menyediakan organisasi untuk kemasukan aktiviti, dan membentuk pelan yang diselaraskan bagi mengurangkan pembaziran sumber, masa dan usaha, ujarnya