Gara-Gara Putus Tunang, Lelaki Nekad Langgar Kereta Bekas Tunang Ditahan | Sabah News

Gara-Gara Putus Tunang, Lelaki Nekad Langgar Kereta Bekas Tunang Ditahan | Sabah News

Kongsikan Berita Ini

SANDAKAN, SABAH – Gara-gara tidak berpuas hati kerana diputus tunang, seorang lelaki bertindak melanggar kenderaan bekas tunangnya dalam kejadian dalam kejadian di Bandar Indah, di sini, pada Jumaat.

Susulan kejadian tersebut, seorang lelaki ditahan polis pada jam 11.15 malam selepas tular satu video berkaitan kejadian di media sosial.

Dalam pada itu, satu laporan polis turut telah dibuat oleh mangsa yang berusia 20-an iaitu bekas tunang lelaki tersebut di Balai Polis Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, mangsa yang juga pemilik kenderaan jenis Perodua Myvi tampil membuat laporan polis selepas kenderaannya dilanggar oleh suspek berusia 20-an.

Jelas beliau hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama di sebuah tempat letak kenderaan.

“Suspek pada waktu kejadian memandu Perodua Viva dan beliau didapati dengan sengaja melanggar kenderaan mangsa yang di parkir di tempat letak kenderaan.

“Bagaimanapun, Pada masa kejadian, mangsa tidak berada dalam kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 30 saat memaparkan sebuah Perodua Viva yang dipandu suspek bertindak mengundurkan kenderaannya dan didapati dengan sengaja melanggar sebuah lagi kenderaan lain yang sedang parkir di kawasan berkenaan.

Katanya, motif sebenar kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan pertunangan mereka yang putus.

“Sehubungan itu, suspek ditahan reman untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Sek 427 Kanun Keseksaan,” katanya.